• Dilema Dayak Dalam PKR

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+
    Benarkah Dayak dalam dilema apabila menyertai PKR? Dayak memang diketahui memiliki semangat juang yang tinggi dan tidak akan berputus asa untuk mendapat apa yang dihajati.

    Lihat sahaja isu berkaitan NCR, Dayak sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan hak tanah sehingga dapat mengheret kes berkaitan NCR ke mahkamah.

    Ironinya kaum Dayak yang begitu lantang bersuara menolak budaya serta entiti politik dari Malaya, tetapi pada masa yang sama terlalu bergantung pada parti politik dari Malaya seperti PKR dan DAP, bahkan ada yang cenderung kepada perjuangan PAS dan PAN.

    Kebanyakan kes NCR Dayak pula diperjuangkan oleh PKR kerana mungkin PKR lebih dominan bersuara menjadikan isu NCR sebagai ‘gula-gula’ politik mereka.

    Mungkin sebab itu, seorang pemimpin muda dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Rapelson Richard Hamid membayangkan kemungkinan Dayak dalam PKR akan berhadapan dengan dilema kerana PKR tidak akan membela Dayak sepenuhnya.

    Menurut Rapelson, PKR terdiri daripada pelbagai kaum dan ketika ini PKR mengalami berbagai masalah dalaman dan tidak mustahil PKR akan berantakan sesama sendiri.

    “Jika PKR terus dirundung masalah ke mana arah Dayak seterusnya?, kaum cina dalam PKR akan melompat ke DAP, Melayu pula akan terjun ke AMANAH. Jadi Dayak akan terjun ke mana?,” soal Rapelson menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

    Situasi itu akan menyebabkan Dayak sekali lagi berpecahbelah demi mencari arah dan seterusnya akan berada dalam dilema untuk kesekian kalinya.

    Dalam politik Sarawak, PBDSB dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) merupakan parti tempatan berasaskan kaum Dayak, namun kurang mendapat sokongan kerana kecenderungan Dayak terhadap perjuangan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang dari semenanjung Tanah Melayu. - A Halim Jantan

    Subjects:

  • No Comment to " Dilema Dayak Dalam PKR "