• ‘Dia Berhati Iblis, Pentadbirannya Lagi Zalim'

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+


    RATA - rata etnik Rohingya ternyata tertipu dengan perwatakan dan pembawaan,Aung San Suu Kyi sebelum beliau menaiki 'takhta' menerajui Myanmar.

    Menurut mereka, Suu Kyi sebelum menjadi Kaunselor Negara Myanmar dilihat sungguh baik dan berwajah seperti keibuan yang menjadi harapan etnik Rohingya untuk mengubah nasib mereka.

    Namun malangnya, sebaliknya berlaku apabila sebaik sahaja Suu Kyi menjadi Kaunselor Myanmar wajah keibuannya bertukar menjadi wajah iblis.

    "Semenjak dia (Suu Kyi) menjadi Kaunselor etnik kami semakin teruk diperlakukan.

    "Dulu ok sikit tetapi sekarang lagi dahsyat, dia seperti iblis yang bertindak kejam ke atas kami," demikian ujar Rohim Hussein,27, kepada Sinar Harian yang ditemui di Kem Pelarian Cox's Bazar, Bangladesh, baru-baru ini.

    Katanya, Suu Kyi seolah-olah bertindak seperti orang gila apabila mahu membersihkan etnik Rohingya dari muka bumi Myanmar.

    "Kami tidak tahu apa salah kami, kami tak kacau orang, semua orang ditembak askar Myanmar di perkampungan kami di Myanmar," katanya lagi.

    Katanya lagi, selain itu surau dan masjid di sana turut dikunci oleh askar Myanmar sehinggakan menyukarkan mereka untuk menunaikan solat dan melakukan aktiviti keagamaan di kawasan tersebut.

    "Sudah 7 tahun pintu masjid dan surau dikunci," katanya yang berjaya meninggalkan Myanmar dengan menaiki bot untuk melarikan diri di kem pelarian di Balukhali, Bangladesh.

    Duta Bangladesh di PBB mengatakan lebih 600,000 etnik Rohingya sudah menyeberangi sempadan, menyertai lebih 300,000 lain yang tiba lebih awal di Bangladesh sebelum Ogos. - Sinar Harian 

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Dia Berhati Iblis, Pentadbirannya Lagi Zalim' "