• Derita Budak Kepala Teleng

    Published: Saturday, 28 October 2017
    A- A+


    SEORANG budak perempuan berusia sembilan tahun terpaksa hidup dalam kesakitan berikutan keadaan lehernya membengkok 90 darjah.

    Afsheen Qumbar mengalami masalah gangguan otot yang menyebabkan kepalanya tidak boleh ditegakkan.

    Dia juga tidak boleh berdiri atau berjalan dengan lurus kerana masalah tersebut.

    Budak perempuan berasal dari Mithi di wilayah Singh di Pakistan itu memerlukan bantuan untuk makan dan menggunakan tandas.

    Bapanya, Allah Jurio, 55, dan ibu, Jameelan, 50 berkata, mereka telah bertemu dengan beberapa doktor tetapi diberitahu bahawa rawatan bagi keadaan itu tidak dibuat di Mithi.

    Jameelan berkata: "Sebak melihat anak kami seperti ini. Saya tidak mahu melihat dia menderita lagi.

    "Tiada doktor di sini yang dapat mendiagnosis keadaannya.

    "Mereka menasihatkan kami untuk membawanya ke Pusat Perubatan Jinnah di Karachi. Tapi kami tidak mempunyai wang untuk ke mendapatkan rawatan di hospital lain."

    Afsheen dilahirkan dalam keadaan normal sebagaimana enam adik beradiknya yang lain tetapi kehidupannya berubah semasa berusia lapan bulan.

    "Ketika itu, dia terjatuh ke tanah semasa bermain di luar rumah dan cedera di bahagian leher.

    "Pada mulanya kami membiarkan keadaanya kerana tidak mempunyai wang jadi kami hanya membawanya berubat dengan seorang dukun tetapi tidak sembuh.

    "Masalahnya semakin rumit apabila membesar. Dia tidak boleh menegakkan kepalanya dan sentiasa mengadu sakit di leher," katanya.

    Jameelan dan Jurio yang bekerja di ladang milik keluarganya cuba untuk meminta bantuan daripada kerajaan Pakistan.

    Jurio berkata: "Jika kerajaan tampil untuk membantu, anak perempuan kami dapat menjalani kehidupan normal.

    "Saya masih mempunyai harapan dan impian untuk Afsheen.

    "Saya mahu dia pergi ke sekolah dan bermain dengan kanak-kanak lain.

    "Saya berharap permintaan saya ditunaikan satu hari nanti," katanya. - Mirror/mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Derita Budak Kepala Teleng "