• Datuk Anggun Didakwa Tipu RM30,000

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    KANGAR: Seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan penipuan hartanah membabitkan kerugian RM6.8 juta sebelum ini, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas dakwaan menipu seorang pensyarah RM30,000 untuk tujuan pembinaan rumah.

    Siti Norbaiyah Yahya, 42, atau dikenali Datuk Anggun, mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azhar Hamzah.

    Berdasarkan pertuduhan, Datuk Anggun yang berasal dari Pasir Gudang, Johor didakwa menipu Zainol Ahmad, 51, dengan memperdayakan lelaki itu supaya menyerahkan wang berjumlah RM30,000 untuk tujuan pembinaan rumah di tanah milik mangsa.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Dato Ali, di sini pada jam 5 petang pada 23 Disember 2015.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dan sebatan dan juga dikenakan denda.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif menawarkan jaminan RM30,000 bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim meminta ia dikurangkan.

    Syed Muhammad Anwar memohon mahkamah membenarkan jaminan yang minimum atas alasan anak guamnya adalah ibu tunggal yang mempunyai lima orang anak.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 November ini untuk serahan dokumen.

    Sebelum ini media melaporkan empat individu termasuk seorang pelakon lelaki ditahan polis awal bulan ini kerana disyaki terbabit dengan beberapa kes penipuan jualan rumah.

    Sebanyak 210 laporan polis dibuat berhubung kes penipuan berkenaan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Datuk Anggun Didakwa Tipu RM30,000 "