• DAP pecah belahkan rakyat - Annuar

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+

    BALIK PULAU: DAP didakwa muncul sebagai parti yang memperkenalkan politik perkauman sejak ia ditubuhkan dengan tujuan memecahbelahkan kepercayaan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

    Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata ia berikutan sejarah politik perkauman hanya wujud sejak DAP ditubuhkan, iaitu selepas 20 tahun Barisan Nasional (BN) mentadbir negara ini.

    Katanya, dakwaan DAP bahawa UMNO mengetengahkan politik perkauman juga bersifat dangkal apabila sejarah penubuhan UMNO jelas membuktikan perjuangan membela nasib masyarakat bukan Melayu tidak pernah diketepikan.

    "DNA DAP ini berbeza dengan dengan pelbagai parti politik dalam negara kerana asal usulnya adalah PAP di Singapura. Justeru, ia sangat berlainan dengan PAS, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang jelas adalah serpihan UMNO.

    "DAP juga mempunyai DNA tertentu dan terbukti daripada perjalanan PAP hingga membentuk parti berkenaan, selain sering menakutkan kaum Cina demi membangkitkan kemarahan masyarakat terbabit terhadap pentadbiran kerajaan sedia ada," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan DAP bahawa UMNO mengetengahkan politik perkauman, ketika berucap pada siri jelajah Dialog Perjuangan For All di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau di sini, malam tadi.

    Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Dr Muhammad Farid Saad.

    Dalam pada itu, Annuar turut menyifatkan agenda terbaharu yang cuba diketengahkan DAP dilihat lebih bersifat 'tidak perlu memerintah, asal dapat menguasai' apabila parti itu sedia bekerjasama dengan PPBM yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamed.

    "Ia jelas apabila DAP tiba-tiba sedia menjalin kerjasama dengan musuh tradisi mereka (Dr Mahathir) apabila beliau sudah tidak lagi berkuasa dalam pentadbiran negara. Mereka hanya perlukan Dr Mahathir untuk memecahbelahkan kaum Melayu," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " DAP pecah belahkan rakyat - Annuar "