• Daesh Tiada, Mosul Mula Jual Rokok Dan CD

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+


    MOSUL - IRAQ. Peniaga di Mosul, Iraq mula membuka kedai masing-masing selepas tentera kerajaan berjaya mengusir kumpulan pengganas Daesh dari bandar strategik itu.

    Sebelum itu, kumpulan radikal berkenaan yang menawan Mosul pada Jun 2014 mencipta kemusnahan dan menjadikan Mosul ibarat 'padang jarak padang tekukur'.

    Selain mengenakan undang-undang ketat, pengganas menyuruh peniaga menutup perniagaan mereka, termasuk kedai yang hanya menjual mainan kanak-kanak.

    Selepas Mosul dibebaskan pengaruh Daesh pada Julai lepas, wartawan CNN mengambil kesempatan menemu ramah beberapa peniaga tempatan.

    Kumpulan pengganas melarang penjualan rokok dan shisha sebelum ini tetapi tanpa diketahui umum, ramai anggota kumpulan Daesh adalah perokok.

    "Jadi apabila rokok menjadi barang yang susah ditemui selepas Mosul ditawan, mereka (pengganas) akan menghubungi penjual rokok yang menjual secara senyap-senyap," kata Abu, 57.

    Abu sebelum ini terpaksa memusnahkan stok rokok dan shishanya selepas dipaksa kumpulan tersebut.

    Kedai Abu sekarang terletak di pasar Nabi Yunus dan menjual jenama rokok dan shisha mewah.

    Sarmad, 32 diberitahu oleh Daesh bahawa muzik dan filem adalah bunyi untuk memanggil syaitan.

    Selepas digertak sedemikian, Sarmad cepat-cepat mengubah kedai CD miliknya menjadi sebuah kafe.

    Usaha Sarmad tetap sia-sia apabila kafenya dimusnahkan oleh Daesh.

    "Dengan pembebasan Mosul, saya boleh buka kedai CD saya kembali dengan banyak musik terkini," kata Sarmad.

    Sarmad kini menjual filem-filem dan musik moden dan mendakwa terdapat permintaan tinggi terhadap barang jualannya. - Sinar Harian 

    Subjects:

  • No Comment to " Daesh Tiada, Mosul Mula Jual Rokok Dan CD "