• Daesh: Penjawat Awam Dipenjara

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Seorang pembantu perubatan hospital kerajaan di Pahang dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki barang berunsur perbuatan kumpulan pengganas Daesh.

    Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairul Azhar Hasan, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 12 Mac lalu.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Khairul didakwa memiliki barang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dalam akaun Facebook miliknya iaitu Khai­rulazhar Hassan.

    Bapa kepada empat anak itu dituduh melakukan kesalahan itu di tingkat 24, Bahagian E8 Cawangan Khas, Bukit Aman, di sini, jam 12.20 tengah hari, pada 3 April lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan.

    Terdahulu, Khairul dalam rayuannya menerusi peguam Mohd Hezri Shaharil, memohon tertuduh dikenakan hukuman ringan dengan alasan penanggung tunggal keluarga serta membabitkan kesalahan pertama.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias, bagaimanapun membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara kerana membabitkan kesalahan serius selain mengambil kira faktor kepentingan awam. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Daesh: Penjawat Awam Dipenjara "