• D-8 sahut Seruan Malaysia

    Published: Saturday, 21 October 2017
    A- A+

    ISTANBUL: Negara Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) menyahut seruan Malaysia untuk mengambil langkah proaktif membantu etnik Rohingya dalam apa juga bentuk.

    Komitmen itu dinyatakan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, selaku Pengerusi Sidang Kemuncak D-8 Kesembilan, yang berakhir semalam.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Erdogan mahu negara Islam D-8 memberikan perhatian dan bantuan sewajarnya kepada pelarian Rohingya.

    "Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan isteri serta anaknya juga sudah melawat kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh, sekali gus memperlihatkan komitmen beliau secara rasmi dan peribadi untuk bekerjasama menangani isu berkenaan.

    "Beliau amat menghargai usaha dilakukan Malaysia dalam memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Rohingya," katanya pada sidang media kepada wartawan Malaysia mengenai pencapaian sidang kemuncak D-8, malam tadi.

    Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Abd Razak Abdul Wahab.

    Mengulas mengenai langkah susulan selepas ini, Ahmad Zahid berkata, penyelesaian secara holistik perlu dilakukan dan beliau menyarankan supaya masyarakat antarabangsa memberi tekanan terhadap kerajaan Myanmar seterusnya mengembalikan pelarian ke kampung halaman mereka.

    "Dalam perbincangan tidak rasmi saya bersama Presiden Turki dan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, saya menyarankan satu pasukan pemantau antarabangsa dibentuk untuk memastikan keselamatan pelarian yang pulang ke kampung halaman.

    "Cadangan ini masih terlalu awal tetapi saya akan memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan berbincang dengan Menteri Luar (Anifah) untuk dibawa ke Kabinet," katanya.

    Beliau berkata, ini kerana, pembentukan pasukan pemantau antarabangsa memerlukan resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerjasama badan antarabangsa lain seperti Pertubuhan Migrasi Dunia (IOM).

    "Jadi, perkara ini perlu dibawa ke Kabinet supaya hasrat Malaysia dapat disampaikan kepada semua badan antarabangsa yang berkaitan," katanya.

    Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, cadangan Turki supaya komposisi negara D-8 diperluaskan mungkin hingga D-20 bagi memberikan ruang kepada negara lain, turut diberi perhatian.

    "Jalinan kerjasama ini penting dalam memperkukuhkan lagi enam bidang keutamaan D-8 iaitu perdagangan; pertanian dan keselamatan makanan; kerjasama industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS); pengangkutan; tenaga dan galian serta pelancongan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " D-8 sahut Seruan Malaysia "