• Cuti 12,649 Pegawai, Anggota Bomba Dibekukan

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti 12,649 pegawai dan anggotanya di seluruh negara sebagai langkah awal menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

    Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Amer Yusof berkata, JBPM kini berada dalam keadaan siap siaga terutama ketika negara sedang mengalami musim peralihan monsun.

    "Selain membekukan cuti, kita akan membuka bilik gerakan di setiap negeri bagi menyelaras dan melakukan pemantauan selain memastikan semua keperluan peralatan serta logistik bagi kerja menyelamat berada dalam keadaan baik.

    "Dalam masa sama, kita juga akan memastikan pengetahuan dan kemahiran pegawai dan anggota khususnya terhadap jentera menyelamat di air dipertingkatkan," katanya.

    Amer berkata demikian selepas majlis Penyerahan Kunci Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar di Kampung Chendering Pantai, Jalan Sekolah Kebangsaan Cendering di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menurutnya, antara tindakan awal dan persediaan terkini adalah pemantauan terhadap sistem amaran awal paras air laut atau sungai serta ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

    Katanya, sebanyak 575 jentera membabitkan bot aluminium sebanyak 479 buah, bot fiber (enam), jet ski (71 buah) dan 15 buah bot kevlar serta empat bot penyelamat akan digunakan dalam operasi memindah dan menyelamat mangsa banjir disediakan utnuk operasi.

    "Bagi aset udara, sebanyak tujuh helikopter diletakkan dalam keadaan bersiap sedia melakukan pemantauan.

    "Di Terengganu, JBPM negeri sudah menjalankan latihan simulasi bencana banjir dan pengurusan mangsa bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Empangan Kenyir pada 25 Oktober lalu," katanya.

    Menurutnya, antara kawasan yang berisiko dilanda banjir di Terengganu ialah di Setiu, Jertih, Kuala Berang, Chukai dan Bandar Al-Muktafi Billah Shah di Dungun.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Cuti 12,649 Pegawai, Anggota Bomba Dibekukan "