• Cuba Beban 110kg, Lelaki Maut Dihempap Besi Angkat Berat

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+

    AMPANG : Cubaan seorang remaja mengangkat bebanan 110kg membawa padah selepas maut dihempap besi angkat berat.

    Ong Chong Jin, 20, maut petang kelmarin selepas besi yang diangkat terlepas daripada genggaman dan menimpa bahagian leher, lapor Harian Metro.

    “Saya sudah mengenalinya sejak beberapa tahun lalu dan sepanjang tempoh itu dia memang aktif melakukan senaman dengan berat bebanan kurang 100kg.

    “Malah sepanjang tempoh itu dia berjaya mengurangkan berat badan daripada lebih 100kg kepada 80kg,” kata rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Danial.

    “Saya tidak sangka keinginannya untuk mencabar diri dengan mengangkat bebanan lebih 100kg meragut nyawanya.”

    Danial, 24, berkata kejadian berlaku ketika mangsa melakukan aktiviti kecergasan di sebuah gimnasium di Taman Melawati di sini.

    Katanya, ketika kejadian terdapat lima individu lain berada di kawasan berhampiran.

    “Namun ada antara mereka menunaikan solat dan keluar membeli rokok.

    “Mereka sempat menasihati Ong atau mesra dengan panggilan Mark supaya menunggu mereka.

    “Aktiviti itu perlu pemantauan individu lain bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

    Ketua Polis Ampang Jaya dilaporkan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

    ACP Hamzah Alias berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). - malaymail

    Subjects:

  • No Comment to " Cuba Beban 110kg, Lelaki Maut Dihempap Besi Angkat Berat "