• Chong Wei Elak Tragedi Glasgow Berulang

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengambil pendekatan berwaspada apabila turun membuka tirai saingan Terbuka Denmark menentang pemain Sepanyol, Pablo Abian di pusingan pertama, esok.

    Walaupun di atas kertas, pilihan ketujuh itu dijangka tidak berdepan masalah besar untuk layak ke pusingan seterusnya, namun pengalaman tersingkir awal ketika Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos lalu perlu dijadikan iktibar.

    Chong Wei yang tewas di tangan pemain Perancis, Brice Leverdez di pusingan pertama di Glasgow berkata, perlawanan pertama sentiasa sukar kerana perlu cepat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

    "Semua pemain akan menghadapi kesukaran apabila turun beraksi dalam perlawanan pertama, jadi kita perlu bijak untuk mengawal keadaan. Saya tidak boleh pandang rendah kemampuan lawan, sebaliknya saya perlu fokus.

    "Ini kejohanan yang penting untuk saya namun saya tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Saya mahu menikmati setiap perlawanan saya," kata Chong Wei yang merangkul gelaran juara Terbuka Denmark pada edisi 2005 dan 2012.

    Jika berjaya mara ke suku akhir, Chong Wei yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-35 tahun, Sabtu ini dijangka berdepan pemain Korea Selatan yang juga pilihan pertama, Son Wan Ho dan jika melepasi halangan itu juara Olimpik 2016, Chen Long dijangka menantinya pada separuh akhir.

    Turut beraksi pada pusingan pertama kejohanan bertaraf Siri Super Premier itu esok ialah beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang akan menentang pasangan China, Huang Dongping-Li Yinhui.

    Satu lagi beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean turut akan beraksi menentang gandingan India, Ashwini Ponnappa-Reddy N Sikki.

    Subjects:

  • No Comment to " Chong Wei Elak Tragedi Glasgow Berulang "