• Chong Dakwa Pengurusan Ekonomi Sarawak Buruk

    Published: Friday, 20 October 2017
    A- A+

    Perancangan dan pengurusan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang adalah lebih baik berbanding di Sarawak, kata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Chong mendakwa pengurusan ekonomi yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) Sarawak lebih buruk berbanding negeri yang ditadbir oleh Lim Guan Eng dari parti DAP.

    Chong berkata, setiap keluarga di Sarawak seharusnya mempunyai pendapatan tinggi dengan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan memandangkan Sarawak dapat menjana pendapatan melalui sumber semula jadi.

    "Pulau Pinang tidak mempunyai sumber asli berbanding Sarawak. Royalti minyak dan gas menghasilkan lebih daripada RM1.5 bilion bagi Sarawak.

    "Perlombongan dan kuari menjana RM23 bilion untuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2016 manakala industri perkayuan pula menghasilkan pendapatan eksport sebanyak RM7 bilion setiap tahun," katanya.

    Chong turut menjelaskan statistik daripada Jabatan Statistik Kebangsaan mendedahkan bahawa purata pendapatan isi rumah bulanan bagi Pulau Pinang pada 2016 adalah RM6,771 dan pendapatan isi rumah median adalah RM5,409 sementara Sarawak purata isi rumah bulanan adalah RM5,387 dan RM4,163 bagi pendapatan isi rumah median.

    “Pendapatan isi rumah median Pulau Pinang yang lebih tinggi 30 peratus daripada Sarawak bermakna bahawa lebih daripada 50 peratus daripada keluarga di Pulau Pinang mempunyai pendapatan 30 peratus lebih tinggi daripada keluarga di Sarawak," ujarnya.

    Oleh itu, beliau menyeru agar liberalisasi dan sosialisasi dalam sumber semula jadi negeri harus ada bagi membolehkan semua rakyat Sarawak mendapat manfaat sepenuhnya daripada kekayaan negeri. - Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Chong Dakwa Pengurusan Ekonomi Sarawak Buruk "