• Chef Wan Tak Benci Datuk Seri Vida

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Selebriti masakan terkenal, Datuk Profesor Redzuawan Ismail, 59 atau Cef Wan menegaskan beliau tidak pernah membenci jutawan kosmetik Datuk Seri Dr. Vida, 46, walaupun selama ini sering ‘mengecam’ wanita tersebut di laman sosial.

    Malah, berkata kepada Utusan Online, beliau amat mengagumi semangat dan kecekalan Dr. Vida yang disifatkan sebagai seorang wanita kental dalam menguruskan perniagaannya.

    “Jujurnya, sama seperti orang lain, saya juga terhibur dengan telatahnya apabila dia muncul di kaca televisyen. Walaupun dikecam dan dikeji, Dr. Vida buat tak tahu, pekakkan telinga.

    “Karakternya berjaya menarik perhatian sesiapa. Ada yang suka, tetapi ada juga yang sebaliknya. Itu lumrah kerana tidak semua yang kita buat akan disukai ramai,” katanya yang ditemui usai konsert minggu pertama Gegar Vaganza musim keempat (GV4) selaku juri undangan.

    Tambahnya, kritikan yang dimuat naik di laman sosial terhadap Dr. Vida bukanlah bersifat mahu menjatuhkan atau mengaibkan, sebaliknya berunsur nasihat dan peringatan.

    Menurut Cef Wan, selain di alam maya, beliau juga sudah beberapa kali bertentang empat mata dengan usahawan berkenaan dan menyuarakan pandangan peribadinya.

    “Tindakan Dr. Vida yang suka memaparkan kemewahannya di media sosial bukan sahaja boleh disalah tafsir, bahkan akan mengundang padah dan berbahaya sehingga mampu mengancam nyawa.

    “Sebab itu saya menegurnya agar jangan berbuat sedemikian. Bersederhana lebih baik. Saling menasihati itu tandanya sayang, bukan benci,” selorohnya tetapi serius.

    Mengulas lanjut tentang usikannya terhadap Dr. Vida untuk memperisterikan wanita berkenaan, pelakon Lurah Dendam itu mengakui beliau sekadar bergurau. Namun, jika mereka berdua dipertemukan jodoh, Cef Wan menerima dengan hati terbuka.

    “Lagipun, kedua-duanya sedang solo dan tidak salah andai gurauan tersebut menjadi kenyataan,” ujarnya sambil ketawa kecil. - UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Chef Wan Tak Benci Datuk Seri Vida "