• Budak Cedera Digigit Anjing Liar

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+

    KANGAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lima bulan cedera digigit anjing liar yang berkeliaran di kawasan kediaman mangsa di Taman Perlis di sini, pagi semalam.

    Kejadian menimpa Mohamad Sufi Mohamad Nawfal Feng itu berlaku kira-kira jam 11 pagi, kurang seminggu selepas BH melalui Halaman Kota melaporkan isu berkaitan Taman Bakau Emas bersebelahan Taman Perlis, yang didakwa penduduk diganggu lebih 20 anjing liar.

    Kedudukan lokasi kejadian dalam lingkungan kurang satu kilometer (km) dari Taman Bakau Emas mencetus persoalan kemungkinan kumpulan anjing sama turut berkeliaran di kawasan lain seperti dilaporkan BH pada 5 Oktober lalu.

    Dalam kejadian pagi semalam, Muhammad Amirul dan abangnya, Muhammad Amirul Fathie Mohd Zaman, 8, diserang anjing liar ketika dalam perjalanan ke kedai kurang 100 meter dari rumah mereka.

    Mohamad Sufi digigit pada dahi manakala abangnya sempat menyelamatkan diri.

    Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Amirul berkata, dia membawa adiknya menggunakan kereta sorong bayi sebelum seekor anjing tiba-tiba menerkam adiknya.

    "Saya takut dan lari sekejap sebelum menyergah haiwan itu. Saya lap darah adik menggunakan baju yang adik pakai sebelum menampal plaster di bahagian yang luka," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Perlis, di sini.

    Muhammad Amirul membawa wartawan dan jurugambar ke lokasi kejadian untuk menunjukkan anjing yang dipercayai menyerang serta menggigit adiknya.

    Berdasarkan pemerhatian, sekurang-kurangnya lima anjing dikesan di kawasan itu.

    Ibu mangsa, Hani Rashida Hashim, 32, bekerja di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) ketika kejadian sebelum dimaklumkan suaminya mengenai kejadian berkenaan.

    "Kami bergegas membawa Mohamad Sufi ke hospital untuk menerima rawatan. Doktor mengesahkan anak saya digigit anjing sebelum memberi suntikan vaksin rabies," katanya.

    Mengulas kehadiran kumpulan anjing berkenaan, Hani berkata, kawasan terbabit tidak mempunyai anjing liar sebelum ini.

    "Saya berharap pihak berkaitan dapat melakukan sesuatu bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa kerana seorang pelajar dikatakan turut diserang anjing liar di taman perumahan berdekatan sebelum ini," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Budak Cedera Digigit Anjing Liar "