• Budak 4 Tahun Trauma Dikurung Dalam ‘Bilik Bertenang’

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+


    BROMBOROUGH - ENGLAND. Seorang ibu tidak berpuas hati dengan tindakan guru-guru Sekolah Rendah Raeburn mengurung anak lelakinya yang berusia empat tahun di dalam sebuah almari selama sejam, lapor metro.co.uk.

    Tina Yourelis, 30, berkata staf sekolah terbabit menempatkan Eli di dalam 'bilik bertenang' yang tiada tingkap atau permainan dan kelihatan seperti sebuah sel penjara selepas anaknya itu berkelakuan ganas.

    "Saya sudah memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai masalah Eli yang memerlukan bantuan dalam pelajaran, namun hari pertama anak saya di sekolah, saya dipanggil kerana Eli menyerang penjual di kantin.

    "Keadaan Eli masih belum didiagnos namun dia menghadapi masalah memahami keadaan sosial, menyebabkan dia sering bertindak ganas," katanya.

    Menurutnya, keadaan bertambah buruk pada 29 September lalu apabila pihak sekolah memintanya hadir sekali lagi dengan segera.

    "Ketika saya tiba di sekolah, saya melihat seorang guru sedang menahan sebuah almari stor guna kakinya membuatkan saya bertanya di mana anak saya.

    "Anak saya di dalam almari itu sedang menangis dan pihak sekolah beritahu bahawa dia berada di dalam 'bilik bertenang' kerana tidak tahu bagaimana untuk mengawal keadaan tersebut.

    "Saya tanyakan apa justifikasi untuk mengurung anak saya di dalam almari tersebut dan bagaimana ia boleh membantu keadaan, memandangkan anak saya dalam ketakutan," katanya.

    Susulan kejadian itu, Eli kini trauma dan tidak mahu mana-mana pintu dikunci serta takut untuk tidur bersendirian.

    "Setelah kejadian tersebut, saya turut terima surat daripada pihak sekolah mengatakan Eli dikecualikan dari menghadiri sekolah buat selama-lamanya dengan alasan anak saya melanggar dasar tingkah laku di sana.

    "Saya kini sedang mendapatkan nasihat tribunal untuk kes ini kerana berasakan sekolah tersebut gagal membantu anak saya," katanya.

    Sementara itu, jurucakap Majlis Wirral mendakwa pihak mereka telah menerima aduan tersebut dan menyiasatnya mengikut prosedur.

    - Sinar Online

    Subjects:

  • No Comment to " Budak 4 Tahun Trauma Dikurung Dalam ‘Bilik Bertenang’ "