• Bomba Kesan 13 Lokasi Berlaku ‘Kepala Air’

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+


    YAN – Sebanyak 13 pusat rekreasi di negeri ini dikesan sebagai lokasi berlakunya kejadian ‘kepala air’ termasuklah Hutan Lipur Lubuk Semilang, Langkawi, yang mengorbankan empat nyawa, baru-baru ini.

    Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Kedah, Mohd Zahar Abdullah berkata pada tahun ini, selain kes berkenaan, kejadian sama turut berlaku di Batu Hampar, Yan; Pusat Rekreasi Tupah, Merbok; dan Air Terjun Temurun, Datai, Langkawi, yang keseluruhannya melibatkan 15 mangsa namun kesemuanya dilaporkan selamat.

    “Selain empat lokasi berkenaan, JBPM negeri turut mengesan lokasi lain yang pernah berlaku kejadian kepala air iaitu di Titi Hayun, Yan; Bukit Wang, Jitra; Sungai Batu Pahat, Merbok; dan Puncak Janing, Kuala Nerang.

    “Terdapat tiga lokasi di Kulim iaitu Sungai Kilim, Sungai Sedim dan Lata Junjung, manakala dua lagi lokasi di Langkawi iaitu Telaga Tujuh dan Durian Perangin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2017 di Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Yan di sini, hari ini.

    Menurutnya, dengan faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini, tahap kesiapsiagaan anggota JBPM negeri Kedah adalah sangat tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

    “Bagaimanapun kita berharap anggota masyarakat juga perlu mengambil langkah berhati-hati sepanjang masa, khususnya sewaktu mengunjungi lokasi-lokasi terbabit untuk beriadah,” katanya.

    Sementara itu, Majlis Pentauliahan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Industri Dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna Dan Koperasi merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail.

    Pada majlis tersebut, seramai 61 pelatih termasuk 55 pelatih lelaki dan enam pelatih perempuan menerima sijil pentauliahan sebagai Pegawai Bomba Bantuan.

    Muhammad Saufian Ahmad Shuhaimi, 25, dinobatkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan bagi kursus Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2017, manakala Pelatih Terbaik Dari Aspek Teori disandang Nabila Mohd Basir, 18, dan gelaran Pelatih Terbaik Dari Aspek Praktikal menjadi milik Muhammad Firdaus Idris, 26. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Bomba Kesan 13 Lokasi Berlaku ‘Kepala Air’ "