• BN W.Persekutuan Sasar 4 Lagi Kerusi Parlimen

    Published: Sunday, 15 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan menyasarkan untuk memenangi empat lagi kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan pada pilihan raya umum ke-14, kata Pengerusinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

    Beliau berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan kerusi parlimen yang ingin dimenangi BN ialah sebanyak lapan daripada 13 kerusi parlimen yang dipertandingkan di Wilayah Persekutuan.

    Pada masa ini, kerusi parlimen sedia ada di bawah pimpinan BN ialah Titiwangsa dan Setiawangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta masing-masing satu kerusi di Putrajaya dan Labuan.

    “Saya takkan beritahu tempat-tempat (berpotensi menang) tersebut kerana itu strategi kita tetapi saya telah minta setiap ketua bahagian turun ke bawah (bekerja),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jalinan Rakyat Plus 2.0 peringkat BN Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

    Selain Titiwangsa dan Setiawangsa, sembilan lagi kerusi parlimen di Kuala Lumpur ialah Kepong; Batu; Wangsa Maju; Segambut; Bukit Bintang; Lembah Pantai; Seputeh; Cheras dan Bandar Tun Razak.

    Mengenai Jalinan Rakyat Plus 2.0, Tengku Adnan berkata program itu adalah inisiatif BN menggerakkan jentera-jentera komponen untuk turun padang dalam usaha mendekati serta menyelami masalah rakyat.

    “Melalui program ini, ia akan membentuk sistem kerja jentera parti yang lebih teratur dan jelas dalam mencapai sasaran kemenangan kita nanti,” katanya.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi MyPPP Tan Sri M. Kayveas. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " BN W.Persekutuan Sasar 4 Lagi Kerusi Parlimen "