• Bintang Muda Kedah Dipancing JDT

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    Spekulasi penyerang muda Kedah, Syafiq Ahmad yang mungkin meninggalkan skuad Helang Merah itu kian bertiup kencang selepas penyerang berusia 22 tahun itu dikatakan akan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) musim hadapan.

    Khabar angin itu semakin kuat selepas tersebarnya sekeping gambar memaparkan penyerang skuad bawah 23 tahun (B-23) berkenaan bersama pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta duta hubungan antarabangsa kelab JDT, Luciano Figueroa.

    Gambar itu dipaparkan menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers, tengah malam tadi.

    Malah, gambar dengan keterangan - ‘kualiti menarik kualiti’ turut menggambarkan betapa JDT memandang tinggi kemampuan pemain kelahiran Pulau Pinang itu sekaligus memberi petanda mereka begitu berminat untuk mendapatkan khidmat Syafiq.

    Selepas memulakan revolusi dengan polisi menghimpunkan pemain terbaik negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, JDT kini mula mengorak langkah dengan mendapatkan pemain muda berbakat sebagai pelan jangka panjang pasukan itu.

    Bukan saja Syafiq, beberapa pemain muda lain antaranya Adam Nor Azlin (Selangor), Adib Zainuddin (FELCRA FC), Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang) dan Nor Azam Azih (Pahang) turut dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan juara Liga Super empat kali itu.

    Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar sebelum ini menegaskan belum ada lagi pemain yang mahu meninggalkan pasukan itu buat masa ini.

    “Ini mungkin khabar angin yang datang daripada sumber yang tidak sahih kerana belum ada pemain yang menyatakan hasrat meninggalkan kelab kepada pihak pengurusan KFA.

    “Kita sudah mengadakan perbincangan bersama semua pemain sebelum ini dan kita nampak mereka masih berminat untuk terus menyarung jersi Kedah.

    “Begitu juga KFA berminat untuk terus mengekalkan semua pemain,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bintang Muda Kedah Dipancing JDT "