• Bicara Kes Saman Najib Terhadap Pua 5 Mac Ini

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan lima hari bermula 5 Mac tahun depan untuk perbicaraan kes saman fitnah difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee dan satu lagi berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Nor Hazira Abu Haiyan, mewakili perdana menteri dan peguam Michelle Ng mewakili Pua.

    Nor Hazira ketika ditemui pemberita berkata mahkamah juga menetapkan 27 Nov ini untuk mendengar permohonan Pua bagi membatalkan saman Najib yang difailkan pada 5 Mac 2016.

    Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah itu dengan menamakan Pua, 43, sebagai defendan pertama dan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, 52, sebagai defendan kedua berhubung isu1MDB.

    Najib selaku plaintif dalam pernyataan tuntutannya, berkata pada 13 Nov 2014, Pua, sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.

    Beliau berkata rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh Chan sendiri dan atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman sesawang Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.

    Najib berkata rakaman ucapan itu mengandungi perkataan yang merujuk dan berkaitan dengan dirinya dan memfitnahnya serta individu dikenali sebagai ‘perdana menteri’ dan semestinya merujuk secara spesifik kepada dirinya (Najib).

    Katanya, penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Bicara Kes Saman Najib Terhadap Pua 5 Mac Ini "