• Bendera PKR Tidak Kelihatan Di ‘Bumi’ Sendiri?

    Published: Saturday, 14 October 2017
    A- A+

    ADAKAH Pakatan Harapan sebenarnya sedang teruk bergolak? Inilah dapat disimpul hasil tinjauan perhimpunan haram blok pembangkang itu di Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor hari ini.

    Apa yang agak jelas dapat disaksikan, Himpunan Selamatkan Malaysia Hapuskan Kleptokras itu kurang memaparkan bendera PKR bahkan hampir tidak kelihatan langsung di tapak demonstrasi tanpa permit polis itu.

    Bagaimanapun, bendera tiga parti lain iaitu DAP, PAN dan PPBM jelas terpacak megah ‘bersepah’ di merata-rata sekitar padang awam tersebut yang lazim menjadi kawasan tumpuan rekreasi keluarga oleh penduduk setempat.

    Kenapa keadaan seperti ini berlaku? Sedangkan seperti yang kita tahu, Selangor berada di bawah pemerintahan PKR yang menguasai Pakatan Rakyat sejak 2008 lagi sebelum kemudian dibubarkan menjadi Pakatan Harapan.

    Sudahlah demonstrasi begini julung kali dibuat blok pembangkang itu di ‘bumi sendiri’ selepas lima kali himpunan haram Bersih berlangsung di pusat bandar Kuala Lumpur setiap tahun sebelum ini gagal mendapat sambutan.

    Sekarang ini bendera parti tunjang kerajaan Selangor itu pula tidak kelihatan. Apa cerita ni? Takkan tiada bajet untuk buat bendera sendiri pula walhal jika acara PKR lain boleh pula penuh panji kemegahan parti itu?

    Adakah parti-parti komponen dalam pakatan ini sedang menghadapi ketidaktentuan antara satu sama lain? Mungkinkah PKR berkecil hati dengan mendakwa mereka tidak dapat apa-apa seperti mana yang DAP ‘dapat’ ?

    Atau mungkin ada satu lagi ‘agenda tersembunyi’? Lebih kurang satu jam sebelum demonstrasi bermula secara rasmi, nampaknya keadaan seperti ini sudah mula menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan petugas media.

    Adakah ini ekoran daripada tindakan PKR yang secara terus mengadakan perundingan secara rahsia dengan PAS di sebalik keputusan tertinggi Pakatan Harapan yang tidak mahu ada sebarang hubungan dengan parti Islam itu.

    Mungkin kebarangkalian itu ada kebenarannya. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Bendera PKR Tidak Kelihatan Di ‘Bumi’ Sendiri? "