• Belia Tumpu Isu Inflasi, Rasuah Dan Peluang Kerja

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+


    TIGA isu utama yang menjadi perhatian besar majoriti anak muda berusia antara 21 hingga 30 tahun sekarang ialah inflasi, rasuah dan peluang pekerjaan.

    Kaji selidik Merdeka Center mendedahkan tiga isu besar yang menjadi tajuk berita seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dakwaan terhadap integriti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pelaksanaan hudud di Malaysia, bukanlah isu-isu yang menarik perhatian anak muda di negara ini.

    Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Sufian berkata, kaji selidik Merdeka Center itu mendapati hanya enam peratus anak muda berasakan isu 1MDB penting bagi mereka, manakala isu integriti Najib lima peratus dan pelaksanaan hudud cuma dua peratus.

    “1MDB ini sesuatu yang berlaku dua tahun lalu. Sekarang, ia sudah jadi isu yang lapuk. Kebanyakan isu biasanya bertahan lebih kurang tiga atau empat minggu.

    “Kebanyakan orang sudah sedar tentang 1MDB. Keprihatinan tentang 1MDB itu sudah bertukar jadi kebimbangan tentang urus tadbir yang baik, kedaulatan undang-undang serta rasuah,” katanya.

    Kaji selidik itu dibuat dengan kerjasama Watan, sebuah pertubuhan sosial yang menggerakkan kempen pendaftaran pengundi.

    Jelasnya, isu 1MDB ini tidak akan mendapatkan sokongan baharu kerana kebanyakan orang sudah sedar mengenainya.

    “Saya tidak fikir orang bodoh. Orang sekarang dapat maklumat yang luas, mereka tahu yang mana betul dan yang mana salah.

    “Kaji selidik yang dibuat di 165 kawasan parlimen di seluruh Semenanjung Malaysia itu bertanya apakah dua isu yang paling penting bagi anak muda Malaysia sekarang.

    Ia melibatkan 604 responden di Semenanjung Malaysia merangkumi 68 peratus anak muda Melayu, 23 peratus Cina dan sembilan peratus India, dari 165 kawasan Parlimen, termasuk kira-kira 40 peratus yang belum mendaftar mengundi.

    Wawancara melalui telefon itu dibuat antara 3 hingga 8 Ogos lepas.

    Sementara itu, lebih separuh anak muda meletakkan isu inflasi sebagai isu paling utama bagi mereka, dengan anak muda di luar bandar (57 peratus) lebih merasakan isu itu penting berbanding anak muda di bandar (48 peratus).

    Isu inflasi juga lebih dirasai anak muda kaum India (65 peratus) berbanding Melayu (54 peratus) dan Cina (38 peratus).

    Sementara itu, rasuah pula merupakan isu kedua utama (34 peratus) diikuti isu-isu peluang pekerjaan (24 peratus), kestabilan politik (17 peratus), jenayah (15 peratus), perumahan 13 peratus) dan kelemahan kepimpinan (13 peratus). - Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Belia Tumpu Isu Inflasi, Rasuah Dan Peluang Kerja "