• Beli Tong Dapat Ganja

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    PASANGAN di Florida terkejut apabila mendapati ganja tersembunyi dalam barangan yang dipesan mereka di Amazon.

    Pasangan tersebut yang merahsiakan identiti mereka atas sebab keselamatan berkata barang yang dipesan, iaitu bekas simpanan plastik terasa lebih berat daripada apa yang dijangkakan ketika ia dihantar.

    "Ia sangat berat, lebih berat daripada yang anda fikirkan apabila anda membeli empat tong kosong," kata wanita itu kepada WFTV.

    Ketika pasangan itu membuka kotak, mereka terhidu bau yang sangat kuat.

    Apabila menyedari bau itu datang dari ganja dengan berat 42 kg, mereka segera menelefon pihak polis.

    "Sebaik sahaja pegawai tiba di sini, dia seakan tidak percaya," tambahnya.

    Polis Orlando kini menyiasat pesanan itu yang dihantar dari Massachusetts oleh Warehouse Deals Amazon.

    Pasangan itu berkata mereka terlalu takut untuk tidur di rumah mereka selama beberapa hari, kerana bimbang akan diapa-apakan.

    Setelah menghabiskan sebulan berulang alik ke Amazon, mereka akhirnya diberi kad hadiah bernilai AS$150 dengan mesej: "Saya tidak mampu melakukan apa-apa lagi pada masa ini. Mereka masih menuntut permintaan maaf dari Amazon dan penjelasannya tentang bagaimana dadah itu boleh berada dalam pesanan mereka."

    Gergasi perdagangan itu memberitahu WFTV bahawa pasukan perkhidmatan pelanggannya sedang menangani masalah pasangan itu dan sedang bekerjasama dengan Polis Orlando untuk mengetahui bagaimana keadaan ini berlaku. -metroUK/mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Beli Tong Dapat Ganja "