• Belanda, Belgium Minat Ekonomi Malaysia

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Komuniti perniagaan Belanda dan Belgium menunjukkan minat yang tinggi terhadap ekonomi Malaysia.

    Malah ada sebahagian syarikat dari negara berkenaan memanfaatkan kedudukan strategik negara ini sebagai pintu gerbang ke ASEAN.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata setakat 2016, 249 projek membabitkan penyertaan syarikat Belanda bernilai RM21.6 bilion sudah dilaksanakan di Malaysia, menjadikan negara itu pelabur kedua terbesar dari Kesatuan Eropah (EU), di belakang Jerman.

    "Pelaburan adalah dalam sektor utama seperti elektronik dan elektrik, pembuatan makanan dan peralatan saintifik.

    "Terdapat kira-kira 150 syarikat Belanda beroperasi di Malaysia termasuk Shell, Dutch Lady, Vopak dan NXP Semiconductor," katanya dalam satu kenyataan sempena misi perdagangan dan pelaburan MITI ke Amsterdam dan Brussels pada 19 hingga 20 Oktober lalu.

    Mustapa berkata, dua syarikat perusahaan kecil dan sederhana Belanda, BE Semiconductor Industries (BESI) dan Enza Zaden, turut berkongsi pengalaman positif mereka melabur di Malaysia pada satu seminar yang diadakan bersempena misi berkenaan.

    "Kedua-dua syarikat itu antara lainnya, turut membangkitkan aspek penawaran modal insan di Malaysia khususnya dalam bidang teknologi dan penjenteraan serta budaya kerja yang gigih dalam kalangan rakyat Malaysia.

    "Mereka amat gembira dengan kemudahan disediakan pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi galakan pelaburan lain," katanya.

    BESI yang beralamat di Shah Alam dan mempunyai 430 pekerja, terbabit dalam pengeluaran jentera dan peralatan berkaitan semikonduktor serta turut menjadikan Malaysia sebagai pangkalan serantau untuk pasaran Asia Pasifik.

    Sementara itu, Enza Zaden yang terbabit dalam bidang pengeluaran biji benih pertanian, memilih Perak sebagai pusat penyelidikan, pembangunan dan pembiakbakaan tanah tinggi serta turut mendapat status BioNexus.

    Di Brussels, misi diteruskan dengan mesyuarat meja bulat membabitkan 10 syarikat terkemuka Belgium bagi berkongsi perkembangan terkini serta peluang perniagaan di Malaysia.

    Mustapa berkata, setakat Jun lalu, pelaburan Belgium di Malaysia bernilai RM743.6 juta, menjadikan negara itu antara pelabur penting dari EU, dan pelaburan terbabit mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dalam sektor utama seperti produk mineral bukan metalik, kimia serta elektrik dan elektronik.

    Katanya, antara syarikat utama Belgium yang beroperasi di Malaysia termasuk Lhoist Chemicals, Oleon dan Melexis.

    "Penting bagi Malaysia berada dalam skrin radar multinasional dan PKS Eropah. Bagi mencapai matlamat ini, kita perlu meningkatkan penyertaan dalam pasaran perdagangan dan pelaburan utama," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Belanda, Belgium Minat Ekonomi Malaysia "