• Bekas Pemimpin Tuduh Tanpa Fakta - PM

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin negara membuat tuduhan tanpa fakta termasuk kononnya Malaysia adalah antara 10 negara paling korup di dunia, kata Datuk Seri Najib Razak.

    Perdana Menteri berkata, ketika dicabar untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan berkenaan, individu terbabit gagal berbuat demikian kerana ia 'mengarut'.

    Berdasarkan Penarafan Terkini Transparensi Antarabangsa, katanya, Malaysia tidak disenarai antara 10 atau 100 negara paling korup, sebaliknya berada dalam kelompok ketiga negara kurang rasuah, dan berkedudukan ke-55 daripada 176 negara yang lain.

    "Beliau (bekas pemimpin negara) membuat pelbagai dakwaan mengenai kerajaan. Salah satu daripadanya ialah Malaysia akan muflis.

    "Walaupun saya fikir Bank Dunia mengatakan ekonomi Malaysia dipertingkatkan daripada sudut kekuatan, rakyat boleh mengetahui kebenarannya (dakwaan muflis), katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM), di sini, malam ini.

    Turut hadir Presiden UNAM, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dan Timbalannya, Tan Sri Razali Ismail.

    Mengulas lanjut, Najib berkata, adalah sesuatu yang 'malang' ketika ini rakyat hidup dalam era penyebaran berita palsu.

    Dari semasa ke semasa, katanya, beberapa agensi media antarabangsa menyiarkan laporan hasil sesi temubual bersama bekas pemimpin negara yang menyebarkan berita palsu dan membohong demi kepentingan politik.

    "Bekas pemimpin negara itu sudah terbabit dalam misi itu hampir tiga tahun dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

    "Apabila beliau sudah menggunakan semua kaedah yang ada, dan gagal setiap kali beliau menggunakan media organisasi sedia ada yang mahu mendengar dakwaannya.

    "(Ia menyediakan platform) untuk beliau menyebarkan berita palsu demi kepentingan politik.

    "Beliau berfikiran jika penipuan itu dibuat secara berterusan, rakyat akan mula mempercayainya sebagai dakwaan benar," katanya.

    Dalam perkembangan lain, Najib berkata kaedah urus tadbir yang baik menjadi antara polisi utama kerajaan sejak diterajuinya pada 2009.

    "Sejurus selepas itu, saya memperkenalkan tiga inisiatif utama, di mana semuanya menjadi kepentingan kepada sistem urus tadbir yang baik di negara ini.

    "Pertama, konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; kedua, Program Transformasi Kerajaan.

    "Ketiga, Program Transformasi Ekonomi," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bekas Pemimpin Tuduh Tanpa Fakta - PM "