• Bekas Menteri Persekutuan Dipanggil Bantu Siasatan

    Published: Thursday, 19 October 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU – Seorang bekas menteri persekutuan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar di Sabah yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion.

    Anggota Parlimen berumur 60 tahun itu tiba di pejabat SPRM Sabah kira-kira pukul 5.15 petang.

    Beliau yang juga presiden sebuah parti tempatan Sabah tiba di pejabat agensi berkenaan dengan ditemani beberapa peguam dan penyokong partinya.

    Sebelum itu, ketika sidang media ringkas di kediamannya, bekas menteri persekutuan itu berkata beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam siasatan itu.

    “Kita akan bagi kerjasama sepenuhnya untuk mereka siasat. Saya tahu SPRM hanya melakukan tugas mereka. Jadi lakukanlah siasatan dengan baik,” katanya.

    Sebelum itu, beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira pukul 3.30 petang.

    Setakat ini, sembilan individu telah ditahan bagi membantu siasatan SPRM berhubung isu dana berkenaan dan tujuh daripada mereka dibebaskan dengan ikat jamin SPRM manakala seorang lagi masih dalam tahanan reman. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Bekas Menteri Persekutuan Dipanggil Bantu Siasatan "