• Bebas Selepas 23 Tahun Dipenjara Secara Salah

    Published: Sunday, 15 October 2017
    A- A+

    CHICAGO: Dikerumuni wakil media dan penyokong, Lamonte McIntrye, memeluk ibunya semalam buat kali pertama sebagai orang yang bebas dalam masa 23 tahun.

    Lelaki kelahiran Kansas berusia 41 tahun itu yang disabitkan secara salah kerana melakukan dua pembunuhan, akhirnya dibebaskan selepas menghabiskan lebih separuh daripada usianya dalam penjara.

    Beliau dijatuhi dua hukuman penjara seumur hidup.

    Kumpulan Injustice Watch berkata, perkataan pertama McIntyre adalah: “Indah di luar ini.”

    McIntyre pada asalnya disabitkan pada usia 17 tahun berdasarkan keterangan saksi yang kemudian menarik balik kenyataannya.

    Pendakwa tidak membentangkan bukti fizikal atau motif untuk mengaitkan McIntyre dengan dua pembunuhan pada 1994.

    Hakim mempertimbangkan semula kes itu dalam sesi pendengaran yang dijadualkan minggu depan, apabila pendakwa raya baharu dalam kes itu, semalam berkata dalam siaran akhbar bahawa maklumat baharu mencurigai keterangan saksi yang mengenali McIntyre sebagai pembunuh, dan juri mungkin tidak akan mensabitkan beliau.

    “Ia maklumat yang diperoleh pejabat saya sejak saya bermula Januari lalu.

    “Pejabat saya meminta mahkamah memutuskan ketidakadilan itu wujud,” kata Peguam Daerah Wyandotte, Mark Dupree.

    Penyiasat asal kes tembakan itu tidak mengeluarkan waran geledah atau menemui kaitan antara McIntyre dan mangsa, menurut Washington Post.

    Beliau ditahan tidak sampai 20 minit selepas soal siasat.

    “Siasatan itu dilakukan tergesa-gesa dan tidak cukup maklumat,” kata Midwest Innocence Project, yang membantu membebaskan McIntyre. – AFP/BH ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Bebas Selepas 23 Tahun Dipenjara Secara Salah "