• Bau Busuk Di Tempat Pencarian

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    GUA MUSANG: Bau busuk di kawasan pencarian mangsa hilang di Hutan Simpan Lebir, Aring 8, di sini, pagi ini, menjadi tumpuan gerakan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

    Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdullah Daud, berkata bau busuk itu dikesan pasukan SAR dalam operasi semalam, tetapi gagal menemui mangsa, Lau See, 69, yang dilaporkan hilang di hutan itu pada 9 Oktober lalu.

    Beliau berkata, sebelum operasi itu dihentikan pada jam 6 petang semalam, pasukan itu mencari di seluruh kawasan berkenaan tapi gagal menemui mangsa.

    Katanya, operasi itu diteruskan hari ketujuh bermula jam 10 pagi ini membabit 31 anggota termasuk anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    "Kita turut mendapat bantuan daripada 11 anggota Pasukan Gerak Am (PGA), kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

    Dalam kejadian 9 Oktober lalu, Lau See dilaporkan hilang di hutan itu kira-kira jam 5.30 petang selepas meninjau kawasan berkenaan bersama-sama dua penduduk Orang Asli iaitu Pandu Amat, 45 dan anak lelakinya, Azerin, 20.

    Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Negeri Sembilan, gagal keluar dari hutan itu manakala Orang Asli terbabit menunggu di kenderaan mangsa.

    Pandu membuat laporan di Balai Polis Paloh selepas gagal menemui mangsa pada hari yang sama.

    Beliau berkata, kawasan pencarian turut diperluaskan ke tiga kilometer persegi termasuk sekitar sungai. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bau Busuk Di Tempat Pencarian "