• Baru Bian, Rundi dan Manyin Sependapat Bajet 2018 Tidak Mencukupi

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+
    KUCHING: Disebalik pujian yang diberikan pemimpin tertinggi negeri terhadap Bajet 2018 yang dibentangkan perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Jumaat lepas, namun buat pertama kali pemimpin Pembangkang dan Barisan Nasional (BN) Sarawak dilihat sependapat terhadap Bajet 2018 dengan menyifatkannya sebagai tidak mencukupi.

    Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian berkata meskipun Sarawak dikatakan mendapat bahagian terbesar bagi bajet pembangunan infrastruktur luar bandar, namun ianya tidak mencukupi.

    Menurutnya, Sarawak memerlukan peruntukan lebih besar dalam Bajet 2018 untuk pembangunan infrastruktur di negeri ini setanding dengan negeri lain di Semenanjung Malaysia, lapor Utusan Borneo.

    Sementara itu, Menteri Utiliti Sarawak Datuk Sri Dr Stephen Rundi dipetik sebuah akhbar tempatan berkata, Sarawak memerlukan peruntukan lebih besar untuk pelan pembangunan bekalan elektrik dan air ke seluruh negeri terutamanya di kawasan luar bandar.

    Menurutnya, Bajet 2018 tidak menyatakan secara khusus jumlah peruntukan yang diberikan kepada Sarawak untuk kedua-dua projek itu.

    "Jumlah peruntukkan RM620 juta bagi bekalan elektrik dan RM300 juta bagi bekalan air bersih kepada Sabah dan Sarawak tidaklah begitu besar.

    "Mengikut perancangan, kami memerlukan lebih banyak daripada itu. Kami akan memohon peruntukkan lebih besar disalurkan kepada Sarawak," katanya.

    Bagi Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong, pengumuman peruntukan RM1 bilion untuk pembangunan sekolah daif di Sarawak dalam Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak mencukupi.

    Memetik laporan Utusan Borneo beliau berkata jumlah itu hanya mampu menampung pembinaan 40 hingga 50 sekolah baharu sedangkan Sarawak mempunyai 415 sekolah daif yang kritikal.

    “Peruntukan RM1 bilion tidak cukup kerana kita memerlukan lebih daripada itu, sekurang-kurangnya RM3 bilion hingga RM4 bilion untuk tujuan itu (pembinaan sekolah baharu),” katanya dipetik sebagai berkata.

    Kenyataan ketiga-tiga pemimpin tersebut sekaligus membidas penghargaan serta pujian yang diutarakan beberapa pemimpin BN di Sarawak terhadap Bajet 2018.

    Perdana Menteri pada Jumaat mengumumkan peruntukkan RM620 juta dalam Bajet 2018 untuk bekalan elektrik dan RM300 juta untuk bekalan air bersih kepada Sabah dan Sarawak.

    Manakala sejumlah RM1 bilion untuk pembangunan sekolaf daif di Sarawak. - Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Baru Bian, Rundi dan Manyin Sependapat Bajet 2018 Tidak Mencukupi "