• Barcelona Terus Tinggalkan Real Madrid

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    BARCELONA: Barcelona perlu menghargai apabila berjaya menyamai rekod kelab dengan sembilan kemenangan dan satu seri dalam 10 perlawanan awal kempen Liga, terutama selepas Real Madrid tewas di Girona, kata jurulatih Ernesto Valverde, hari ini.

    Barca meneruskan nasib baik mereka apabila menewaskan Athletic Bilbao 2-0 di tempat lawan kelmarin untuk mengekalkan jurang empat mata di persada liga, hasil persembahan menakjubkan penjaga gol Marc-Andre ter Stegen dan cubaan Raul Garcia yang terkena palang.

    Semalam, juara Sepanyol dan Eropah, Real melepaskan kelebihan 1-0 pada babak pertama sebelum kalah 2-1 berdepan Girona, yang bermain di liga teratas itu buat pertama kali dalam sejarah 87 tahun kelab itu.

    Real kini lapan mata di belakang pencabar utama mereka itu.

    Barca menang 3-0 di Girona bulan lalu dan hanya mencicirkan satu mata ketika seri 1-1 di Atletico Madrid. Mereka juga memiliki rekod sempurna dalam Liga Juara-Juara dan boleh mara ke kelompok 16 terakhir jika mereka menang mengatasi kelab lama Valverde, Olympiakos Piraeus awal pagi esok.

    “La Liga sangat susah,” kata Valverde menjelang pertemuan Kumpulan D di Athens itu.

    “Bukan kami saja pasukan yang menderita untuk menang. Madrid tewas di Girona dan Atletico seri di laman sendiri (berdepan Villarreal). Mata sangat berharga dan anda perlu bekerja keras untuk menang.

    “Kami semua menjangkakan untuk mencicirkan mata pada satu ketika dan jarak antara pasukan boleh bertambah atau berkurangan, tetapi minggu lalu menunjukkan betapa kami perlu menghargai kemenangan itu.”

    Barca menewaskan Olympiakos 3-1 dua minggu lalu walaupun bermain pada babak kedua dengan 10 pemain namun Valverde menjangkakan tempoh yang sukar di Stadium Karaiskakis, tempat dia membimbing pasukan Greece itu meraih tiga gelaran ligaa dan dua piala.

    “Memang gembira untuk kembali ke stadium ini sekali lagi. Ia amat bermakna buat saya dan saya tidak sabar menantikan perlawanan ini,” kata Valverde yang melatih Olympiakos antara 2008 dan 2012 dalam dua tempoh berbeza.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Barcelona Terus Tinggalkan Real Madrid "