• Barang Kes Dibuka Di Jabatan Kimia

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+


    PETALING JAYA: Barang kes mengandungi baju T tertulis nama dua tertuduh yang didakwa membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam dan serpihan kuku, dikemukakan di Jabatan Kimia Malaysia (Jabatan Kimia) hari ini, bagi tujuan pengecaman.

    Prosiding pengecaman dilakukan di Jabatan Kimia berikutan wujud isu keselamatan.

    Pada prosiding Khamis minggu lalu, Ketua Makmal Pusat Analisis Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia Dr S Raja yang memberi keterangan berhubung barang kes terbabit yang diletakkan dalam beg plastik dan dimeterai, menyarankan ia dibuka bagi tujuan pengecaman di Jabatan Kimia atas faktor keselamatan.

    Pada sampul kedua-dua baju T yang dimasukkan dalam beg plastik itu tertulis nama tertuduh pertama warga Indonesia Siti Aisyah dan tertuduh kedua warga Vietnam Doan Thi Huong.

    Dr Raja dalam keterangannya berkata, bahan agen saraf VX yang aktif didapati masih ada pada dua baju T dan serpihan kuku berkenaan.

    Sehubungan itu, katanya, ia tidak wajar dibuka di mahkamah kerana dikhuatiri boleh memudaratkan.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika ditemui selepas prosiding berkata, proses pengecaman barang kes berlangsung selama satu jam setengah dalam bilik dilengkapi makmal.

    Beliau berkata, pihak yang masuk ke dalam makmal adalah tertuduh kedua warga Vietnam, Doan Thi Huong; Dr Raja; peguam tertuduh pertama warga Indonesia Siti Aisyah, S Selvi; dan dua pegawai pengiring.

    Wan Shaharuddin berkata, mereka dikehendaki memakai baju pelindung bahan kimia dan topeng pernafasan, manakala Hakim Datuk Azmi Ariffin, barisan pendakwaan dan peguam bela lain berada di luar makmal yang dipisahkan dengan dinding kaca.

    Siti Aishah, 25, dan Doan Thi Huong, 28, yang didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam, 45, di Balai Berlepas KLIA2, pada jam 9 pagi, 13 Februari lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Barang Kes Dibuka Di Jabatan Kimia "