• Banjir Kota Belud Kesan Gempa 2015

    Published: Saturday, 21 October 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Banjir yang melanda Kota Belud menyebabkan ratusan penduduk dipindahkan, ada kaitan dengan kesan gempa bumi berpusat di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015.

    Pakar geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul, berkata walaupun bencana alam itu sudah dua tahun berlalu, kesan banjir lumpur akibat gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter itu masih dirasai sehingga kini.

    Beliau berkata, Sungai Kadamaian yang menjadi laluan banjir lumpur selepas seminggu insiden gempa bumi itu, kini cetek dan tidak lagi mampu menampung aliran air yang banyak menyebabkan ia mudah melimpah dan membanjiri puluhan kampung di kawasan rendah.

    Katanya, banjir lumpur dan hakisan berterusan dari kawasan runtuhan di Gunung Kinabalu menyebabkan mendapan serius di sepanjang Sungai Kadamaian, menjadikan dasarnya cetek.

    "Berdasarkan pemerhatian menggunakan dron yang kami buat, hampir semua kampung di sepanjang Sungai Kadamaian di Kota Belud dilanda banjir.

    "Ia mengingatkan kebimbangan saya mengenai kesan gempa bumi di Gunung Kinabalu pada Jun 2015 kini menjadi kenyataan.

    "Saya dimaklumkan beberapa kampung yang sebelum ini tidak pernah banjir, kini dinaiki air.

    "Ini menunjukkan sisa kayu balak, batuan dan pelbagai bahan yang dihanyutkan di Sungai Kadamaian selepas gempa bumi itu menjadikan sungai berkenaan cetek dan tidak dapat menampung jumlah air yang banyak ketika hujan mengalir dari Gunung Kinabalu," katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.

    Semalam, lebih 500 penduduk membabitkan lebih 20 kampung di Kota Belud terpaksa berpindah akibat banjir, manakala beberapa laluan terputus selain kawasan pekan turut terjejas.

    Subjects:

  • No Comment to " Banjir Kota Belud Kesan Gempa 2015 "