• Bangkai Pesawat Terhempas Dialih

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+

    Bangkai pesawat GT500 Microlite yang tenggelam di dasar Sungai Mati di sempadan Melaka dan Johor selepas terhempas sejurus berlepas dari landasan Aerodome Sungai Rambai, 14 Oktober lalu dialihkan dari lokasi kemalangan, hari ini.

    Operasi bermula 9.30 pagi hari ini turut dibantu sebuah jengkaut bagi memudahkan kerja mengeluarkan bangkai pesawat berkenaan dari dasar sungai.

    Proses mengeluarkan bangkai pesawat ringan berkenaan dikendalikan Biro Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan dengan dibantu lagi beberapa agensi penguat kuasa lain.

    Penyiasat Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan, Izani Ismail berkata, pihaknya mengambil masa panjang untuk mengeluarkan bangkai pesawat dari dasar sungai berikutan faktor cuaca selain persekitaran yang tidak selamat untuk sebarang aktiviti.

    "Selepas berbincang dengan beberapa pihak, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Hasan Abd Rahman, hari ini paling sesuai bagi melakukan kerja mengeluarkan bangkai pesawat berkenaan.

    "Sejurus dinaikkan ke tebing, kami lakukan siasatan ringkas terlebih dulu terhadap bangkai pesawat sebelum diserahkan semula kepada pemiliknya dan difahamkan akan dibawa pulang ke Ipoh, Perak.

    "Hasil siasatan awal mengenai nahas ini dijangka diketahui selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu, manakala untuk mendapat keputusan penuh pula kami perlukan sebulan," katanya.

    Pada 14 Oktober lalu, seorang juruterbang, Yen Yoon Fah, 53, maut, manakala jurulatih penerbangan, Shahrul Shafiri, 35, cedera selepas pesawat ringan GT500 Microlight terhempas di Sungai Mati, Tangkak, Johor, kira-kira 200 meter dari hujung landasan Aerodrome Sungai Rambai pada 10.30 pagi.

    Justeru, Hasan yang juga ADUN Sungai Rambai meminta pihak berkaitan termasuk ahli keluarga atau koordinator kepada pemilik pesawat ringan milik persendirian berkenaan dapat menguruskan proses mengeluarkan bangkai pesawat terbabit.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bangkai Pesawat Terhempas Dialih "