• #Bajet2018: Tahun 2020 Diisytihar Tahun Melawat Malaysia

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia seiring dengan pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan pada tahun itu antaranya menjadi tuan rumah kepada Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengumuman itu adalah seiring dengan kemampuan Malaysia menjadi negara ke-12 paling ramai dikunjungi pelancong dari seluruh dunia untuk tahun 2016 mengikut laporan Pertubuhan Pelancongan Sedunia (WTO).

    Jelas Perdana Menteri, demi menyiapkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, kerajaan akan memperkenalkan beberapa skim bantuan antaranya RM2 bilion diperuntukan kepada Tabung Pelancongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai pinjaman kepada pengusaha pelancongan dengan insentif subsidi berkadar faedah dua peratus menerusi Bajet 2018.

    “Dari Melaka ke negeri Pahang, tumpang berteduh di Bandar Pekan, negara tersohor pelancong pun datang, itulah tandanya Malaysia aman. Bagi tahun 2018 pula, dijangka 28 juta pelancong akan melawat Malaysia,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018, di Dewan Rakyat, hari ini.

    Tambah Najib, kerajaan juga akan memperluaskan hab serantau e-Visa bagi memudahkan permohonan di seluruh dunia terutama kepada ekspatriat, pelajar asing dan peserta program Malaysia My Second Home. - UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " #Bajet2018: Tahun 2020 Diisytihar Tahun Melawat Malaysia "