• #Bajet2018: Pulau Pangkor Diisytihar Pulau Bebas Cukai

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kerajaan mengisytiharkan Pulau Pangkor, Perak sebagai pulau bebas cukai.

    Bagaimanapun, pengecualian cukai itu tidak termasuk barangan seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor.

    Selain itu, kerajaan akan mempercepatkan pembinaan MRT3 atau Circle Line yang dijangka siap pada tahun 2025 berbanding 2027 manakala bagi projek LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia, Klang dijangka siap pada Februari 2021.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengumumkan peruntukan RM230 juta bagi meneruskan pembinaan projek Central Spine Road, antaranya pakej jajaran Raub-Bentung dan jajaran Gua Musang-Kampung Relong.

    Beliau turut mengumumkan pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas di Bukit Kayu Hitam, Kedah merangkumi zon perindustrian bebas yang akan menjadi tarikan baharu pelabur dalam dan luar negara.

    Bagi memastikan rakyat menikmati pengangkutan awam lebih holistik, kerajaan memperuntukkan RM3 bilion kepada Dana Pembangunan Pengangkutan bagi pembelian aset kapal, pembangunan industri teknologi aeroangkasa dan rel.

    Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan kepada Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja dan pembelian aset seperti bas serta teksi dan RM95 juta bagi pembaikan serta pembinaan jeti dan pengerukan kuala sungai.

    Dalam usaha membendung kemalangan membabitkan bas ekspres, sebanyak RM45 juta diperuntukkan bagi mewujudkan sistem biometrik bagi memantau pemanduan perkhidmatan bas ekspres.

    Sebanyak RM55 juta juga diperuntukkan sebagai subsidi pengangkutan perkhidmatan kereta api luar bandar dari Tumpat ke Gua Musang.

    Sementara itu, kerajaan akan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi selain membina lapangan terbang baharu di Mukah, Sarawak serta melaksanakan pembesaran Lapangan Terbang Kota Bharu, Kelantan dan Sandakan, Sabah.

    Satu kajian juga sedang dilakukan mengenai lapangan terbang baharu di Pulau Tioman, Pahang selain melaksanakan kajian kemungkinan bagi membina jambatan menghubungkan Labuan dan tanah besar di Sabah.-Berita Harian Online

    Subjects:

  • No Comment to " #Bajet2018: Pulau Pangkor Diisytihar Pulau Bebas Cukai "