• #Bajet2018 : Pinjaman Maksimum PTPTN Pelajar Keluarga B40 Dinaikkan Kepada RM200 Juta

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR :  Kerajaan hari ini mengumumkan kelonggaran tambahan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan menaikkan jumlah pinjaman maksimum sebanyak RM200 juta kepada pelajar dari keluarga kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang mengikuti kursus berkeboleh-pasaran tinggi.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tempoh ?grace period' pembayaran balik pinjaman turut dilanjutkan kepada 12 bulan setelah tamat pengajian berbanding enam bulan pada masa kini.

    "Seterusnya, kepada para peminjam yang ingin menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, sebagai contoh diploma ke ijazah sarjana muda, mereka boleh menggabungkan pinjaman diploma dan ijazah sebagai satu pinjaman, dan hanya perlu membuat bayaran balik selepas tamat di peringkat ijazah itu.

    "Jelas sekali, pelbagai ruang telah kerajaan berikan, kalau tak bayar juga, tak tahulah apa yang kita nak ucapkan lagi," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat.

    Dalam Bajet 2018 bertemakan 'Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50)' itu, Najib turut mengumumkan sejumlah RM250 juta kepada 500,000 pencarum berumur tujuh hingga 12 tahun dalam Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia (SSP1M) kelolaan PTPTN.

    Pada pembentangan Bajet 2017, kerajaan mengumumkan diskaun bayaran balik PTPTN iaitu 15 peratus untuk penyelesaian penuh keseluruhan baki hutang pinjaman, 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurang 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran, manakala diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau 'Direct Debit' mengikut Jadual Bayaran Balik (JBB) ditetapkan.

    Menerangkan lanjut mengenai insentif galakan budaya menabung itu, Najib berkata geran sepadan RM500 akan diberikan kepada mereka yang mempunyai jumlah caruman sekurang-kurangnya RM500 yang hanya boleh dikeluarkan apabila mencapai usia 18 tahun.

    Selain itu, katanya lagi, kerajaan juga akan melanjutkan tempoh pelepasan cukai pendapatan individu terhad kepada RM6,000 bagi simpanan bersih yang dibuat ke dalam SSP1M selama tiga tahun mulai 2018.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " #Bajet2018 : Pinjaman Maksimum PTPTN Pelajar Keluarga B40 Dinaikkan Kepada RM200 Juta "