• #Bajet2018 : Peruntukan TEKUN Paling Tinggi

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR : Bajet 2018 menyaksikan peruntukan paling tinggi pernah diberikan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), iaitu RM500 juta dalam usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan khususnya bumiputera.

    Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pemberian itu merupakan antara usaha meningkatkan sumbangan PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 41 peratus menjelang tahun 2020.

    Selain TEKUN, kerajaan turut menambah dana Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM200 juta, menjadikan jumlah pembiayaan keseluruhan mencecah RM2.7 bilion yang boleh dimanfaatkan oleh 400,000 peminjam.

    “Kerajaan tidak melupakan usahawan-usahawan mikro, oleh itu kerajaan memperuntukkan bajet paling tinggi pernah diberi kepada sebanyak setengah bilion ringgit,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018, di Dewan Rakyat, hari ini.

    Selain itu, peruntukan yang diumumkan ialah RM80 juta di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa melalui Bank Rakyat dan SME Bank sebagai kemudahan pembiayaan kepada usahawan bumiputera luar bandar, dan RM150 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan SME Corp. bagi melaksanakan promosi dan peluasan pasaran eksport termasuk Geran Pembangunan Pasaran. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " #Bajet2018 : Peruntukan TEKUN Paling Tinggi "