• #Bajet2018: Lebih 83,000 Rumah MyBNHome, PPR Siap

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Penyediaan rumah mampu milik terus mendapat perhatian kerajaan yang menyaksikan sebanyak 83,809 rumah siap telah dibina sehingga akhir Ogos lepas di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan MyBeautiful New Home (MyBNHome).

    Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, inisiatif perumahan untuk rakyat turut dibuat melalui pelaksanaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

    Laporan itu menyatakan bahawa seramai 27,660 pemilik rumah telah menerima subsidi sehingga RM20,000 bagi pembinaan setiap rumah di bawah RMR.

    Di bawah PR1MA pula, kerajaan memperuntuk tanah kosong seluas 21.48 hektar di Perak dan Sarawak untuk menyediakan rumah kepada isi rumah berpendapatan sederhana.

    Mengenai MyBNHome yang diperkenalkan dalam Bajet 2017, laporan itu menyatakan bahawa ia kini dalam pembinaan di Melaka, Terengganu dan Pahang.

    Bagi Sabah, Kedah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Kelantan serta perkampungan Orang Asli di Perak dan Pahang, MyBNHome kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

    MyBNHome adalah bukti komitmen dan penglibatan kerajaan demi memastikan rakyat mempunyai akses untuk memiliki rumah mampu milik.

    Laporan itu menyatakan bahawa dalam tempoh sama, sebanyak RM65 juta telah dibelanjakan untuk membaik pulih 4,436 rumah dengan ia memanfaatkan 22,180 penerima di penempatan Orang Asli dan kampung terpencil.

    Pada masa sama, sebanyak RM206 juta dibelanjakan untuk membaiki dan menaik taraf kemudahan asas di 252 flat melalui Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia dan Program Penyenggaraan Perumahan yang memberi manfaat kepada 228,494 penghuni.

    Bagi meningkatkan kesalinghubungan, kerajaan terus memperluas infrastruktur dengan membelanjakan kira-kira RM2.9 bilion bagi menyenggara jalan negeri dan memasang lampu jalan di 145 daerah di seluruh negara.-BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " #Bajet2018: Lebih 83,000 Rumah MyBNHome, PPR Siap "