• #Bajet2018 : Hutang Luar Terkumpul M'sia Susut Kepada Rm877.5 Bilion

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR : Hutang luar terkumpul Malaysia berkurang kepada RM877.5 bilion atau 65.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2017, daripada RM916.1 bilion atau 74.5 peratus yang dicatat pada akhir 2016.

    "(Ini) berikutan penilaian semula hasil daripada pengukuhan ringgit berbanding mata wang utama dan serantau terpilih serta pembayaran balik bersih pinjaman antara bank pada suku kedua," menurut Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

    Pinjaman luar pesisir Malaysia, yang merupakan komponen terbesar hutang luar, berkurang kepada RM520.6 bilion atau 38.7 peratus daripada KDNK berbanding RM531.3 bilion (43.2 peratus) pada 2016 selepas penilaian semula dan pinjaman antara bank yang lebih rendah.

    Menurut laporan itu lagi, hutang jangka sederhana dan panjang, hutang sektor swasta berkurang kepada RM165.4 bilion susulan pinjaman bersih yang lebih rendah oleh bank dan bukan bank.

    Sementara itu, sebagal peratusan kepada KDNK, pinjaman luar pesisir sektor awam kekal pada RM127.1 bilion (9.4 peratus) dengan syarikat awam sebagai penyumbang terbesar pada 8.1 peratus dan selebihnya adalah kerajaan Persekutuan.

    Menurut laporan itu, hutang sektor awam pula mencatat RM901.2 bilion atau 73.3 peratus daripada KDNK pada akhir 2016 berbanding RM870 bilion (75.1 peratus) dengan hutang kerajaan Persekutuan berjumlah RM648.5 bilion (72 peratus) daripada jumlah hutang sektor awam, berbanding RM630.5 bilion (72.5 peratus) akhir 2015.

    Pada akhir Jun 2017, hutang kerajaan Persekutuan terdiri daripada hutang pinjaman terkumpul kerajaan Persekutuan berjumlah RM685 bilion, menurut laporan tersebut.

    Komposisi hutang kekal berhemat dengan 96.7 peratus adalah hutang dalam negeri dan selebihnya adalah pinjaman luar pesisir.

    Hutang dalam negeri terutamanya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia, masing-masing berjumlah RM362.9 bilion dan RM261.5 bilion.

    Pada akhir Jun 2017, hutang kerajaan Persekutuan mencatat 50.9 peratus daripada KDNK.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " #Bajet2018 : Hutang Luar Terkumpul M'sia Susut Kepada Rm877.5 Bilion "