• #Bajet2018 : Ekonomi Global Dijangka Berkembang 3.7 Peratus Pada 2018

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    Kuala Lumpur : Ekonomi global dijangka berkembang 3.7 peratus tahun depan daripada 3.6 peratus yang diunjurkan untuk 2017, dipacu oleh pertumbuhan mampan di negara maju serta prestasi ekonomi pasaran membangun yang berkembang pesat dan ekonomi membangun (EMDE).

    Laporan Ekonomi 2017/2018, yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan, menyatakan ekonomi negara maju akan mencatat pertumbuhan dua peratus pada 2018 daripada 2.2 peratus pada 2017, disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang kukuh.

    Pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat dijangka meningkat kepada 2.3 peratus tahun depan daripada 2.2 peratus pada 2017, sementara pertumbuhan di United Kingdom dijangka berkembang sederhana 1.5 peratus daripada 1.7 peratus dan pertumbuhan di kawasan euro dijangka perlahan pada 1.9 peratus daripada 2.1 peratus.

    Menurut laporan itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) EMDE dijangka meningkat kepada 4.9 peratus pada 2018 daripada 4.6 peratus dijangka untuk 2017, disokong oleh permintaan global yang lebih tinggi dan keyakinan pasaran yang semakin meningkat.

    "ASEAN dijangka mencatat pertumbuhan stabil sebanyak 5.1 peratus tahun depan daripada 4.9 peratus pada 2017, disokong oleh penggunaan yang kukuh dan peningkatan permintaan luar."

    "Pertumbuhan India diunjur lebih mantap sebanyak 7.4 peratus pada 2018 daripada 6.7 peratus pada 2017, sebahagian besarnya disumbang oleh penggunaan swasta yang kukuh dan peningkatan pelaburan menerusi pembaharuan struktur utama," menurutnya.

    Menurut laporan itu, China, sebaliknya, dijangka berkembang lebih rendah sebanyak 6.5 peratus daripada 6.8 peratus yang diunjurkan pada 2017 dalam persekitaran pembaharuan struktur dan usaha berterusan untuk membendung risiko dalam pasaran kewangan dan hartanah.

    Berkenaan kadar inflasi, negara maju diunjur kekal tidak berubah pada 1.7 peratus dari 2017 manakala EMDE dijangka mencatat 4.4 peratus daripada 4.2 peratus pada 2017.

    "Ekonomi global dijangka berhadapan beberapa risiko walaupun diunjur mencapai pertumbuhan yang lebih baik pada 2018 disebabkan ketidaktentuan dasar dalam ekonomi utama, termasuk perlindungan, ketidakpastian pasca-Brexit, pertumbuhan kredit yang berlebihan dan hutang isi rumah yang tinggi.

    "Selain itu, keadaan geopolitik yang semakin tegang di Timur Tengah dan Asia Timur, kenaikan harga minyak dan komoditi yang perlahan serta kesan perubahan iklim boleh dilihat sebagai risiko tambahan,\" menurut laporan tersebut.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " #Bajet2018 : Ekonomi Global Dijangka Berkembang 3.7 Peratus Pada 2018 "