• #Bajet2018 : Defisit Fiskal Dijangka 2.8 Peratus Daripada KDNK ada 2018

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Defisit fiskal diunjur mengecil pada 2.8 peratus atau RM39.8 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun depan berbanding 3.0 peratus (RM39.9 bilion) pada 2017.

    Paras hutang Kerajaan Persekutuan pula dianggarkan sekitar 50 peratus daripada KDNK, menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal ke arah mencapai bajet hampir berimbang pada 2020, kata Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.

    Selain itu, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan dijangka lebih kukuh pada tahun depan, disumbangkan terutamanya oleh kutipan hasil lebih tinggi serta pertumbuhan perbelanjaan yang sederhana.

    Hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2018 diunjur berkembang sebanyak 6.4 peratus kepada RM239.9 bilion (2017: 6.1 peratus; RM225.3 bilion).

    Malah, selaras dengan aktiviti ekonomi yang menggalakkan dan persekitaran perniagaan memberangsangkan, hasil cukai juga dijangka meningkat 6.3 peratus kepada RM191.6 bilion (2017: 6.4 peratus; RM180.2 bilion).

    "Kerajaan akan terus mengukuhkan kutipan hasil cukai dengan meningkatkan pematuhan dan menambah baik pentadbiran cukai serta mengkaji insentif cukai untuk memberi tumpuan kepada sektor bersasar dan kritikal.

    Selain itu, anggaran perbelanjaan Kerajaan pada 2018 adalah sebanyak RM280.2 bilion berbanding RM265.9 bilion pada 2017.

    Perbelanjaan mengurus bagi 2018 dijangka pada RM234.2 bilion manakala perbelanjaan pembangunan pada RM46 bilion.

    Jumlah subsidi dan bantuan sosial pula dijangka meningkat kepada RM26.5 bilion daripada RM23.1 bilion pada 2017.

    Peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan pada 2018 dijangka kekal pada RM46 bilion atau 17.7 peratus daripada siling Rancangan Malaysia Ke-11 yang menyenaraikan kira-kira 4,900 program serta projek sedia ada dan baharu.

    "Ini merangkumi sektor ekonomi, sosial, keselamatan dan pentadbiran am," kata laporan itu.

    Sektor ekonomi kekal menerima jumlah peruntukan terbesar sebanyak RM26.3 bilion (2017: RM25.9 bilion) yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur awam dan jaringan pengangkutan (RM10.5 bilion), perdagangan dan industri (RM4.1 bilion) serta sebagai pertanian dan pembangunan luar bandar (RM2.5 bilion).

    Subsektor tenaga dan kemudahan awam juga menerima peruntukan RM2.7 bilion terutamanya untuk pengembangan bekalan air dan perkhidmatan elektrik serta pembetungan di luar bandar.

    Sektor sosial akan terus diberi keutamaan pada tahun 2018 dengan peruntukan sebanyak RM11.7 bilion terutama untuk perkhidmatan pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan dan perkhidmatan kebajikan.

    Sementara itu, kedudukan imbangan pembayaran pada 2017 dijangka terus menggalakkan disokong oleh akaun kewangan yang bertambah baik dengan lebihan akaun semasa dijangka kekal tinggi pada RM32.3 bilion atau 2.5 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK) untuk 2017 dan RM32.9 bilion atau 2.3 peratus daripada PNK bagi tahun 2018.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " #Bajet2018 : Defisit Fiskal Dijangka 2.8 Peratus Daripada KDNK ada 2018 "