• #BAJET: Prestasi Malaysia Atasi Jangkaan, Catat Pertumbuhan Kukuh Pada Separuh Pertama 2017

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Malaysia terus memanfaatkan asas ekonomi yang teguh, dengan bangkit mengatasi jangkaan apabila mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kukuh bagi tempoh enam bulan pertama 2017.

    Ekonomi domestik berkembang 5.7 peratus dalam tempoh tersebut, disokong permintaan domestik yang kukuh dan kestabilan sektor luaran manakala pelaburan swasta meningkat 10 peratus berbanding 3.9 peratus bagi tempoh sama tahun lepas, menurut Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.

    Selain itu, kerajaan juga telah mengurangkan secara berperingkat defisit fiskal kepada 3.1 peratus daripada KDNK pada 2016 berbanding 6.7 peratus pada 2009 melalui beberapa inisiatif termasuk penambahbaikan institusi dasar fiskal dan rasionalisasi perbelanjaan.

    "Selaras dengan jangkaan hasil cukai yang tinggi daripada syarikat dan individu, jumlah kutipan hasil pada 2017 dijangka mencatat pertumbuhan 6.1 peratus.

    "Pada masa yang sama, kutipan hasil bukan cukai turut dijangka meningkat yang sebahagiannya disumbangkan oleh penjualan ekuiti berikutan usaha kerajaan untuk mengurangkan secara berperingkat penglibatan langsung dalam pasaran," katanya.

    Dasar monetari turut kekal akomodatif walaupun wujud ketidaktentuan persekitaran luaran, di samping mengekalkan kestabilan harga.

    Laporan itu menyatakan, Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia kekal tidak berubah pada tujuh bulan pertama tahun ini walaupun beberapa ekonomi utama mengubah dasar monetary masing-masing bagi menangani ketidaktentuan.

    Pada masa yang sama, ringgit mengukuh disokong oleh perkembangan positif ekonomi domestik dan pelbagai langkah yang diambil oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) terutamanya dalam meningkatkan kecairan pasaran bon dan membenarkan fleksibiliti lindungin nilai yang lebih besar dalam pasaran domestik.

    Menurut laporan itu, sistem perbankan juga kekal berdaya tahan, disokong oleh institusi yang kukuh dan keyakinan berterusan terhadap sistem kewangan.

    Keuntungan sistem perbankan kekal memberangsangkan berikutan penggunaan teknologi baharu yang cekap dan pengoptimuman tenaga kerja.

    "Bagi memoden dan meningkatkan kecekapan sektor kewangan, kerajaan telah menyediakan persekitaran kawal selia yang menyokong untuk mempromosi teknologi kewangan (Fintech).

    "Di samping itu, bagi menggalakkan keterenagkuman kewangan, kerajaan juga telah melaksanakan beberapa inisiatif dan program kesedaran," katanya.-BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " #BAJET: Prestasi Malaysia Atasi Jangkaan, Catat Pertumbuhan Kukuh Pada Separuh Pertama 2017 "