• Bajet BN Lebih Realistik Daripada Bajet Pakatan Harapan

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    Beberapa hari lepas, Pakatan Harapan (PH) telah membentangkan bajet alternatif 2018, dengan gambaran janji-janji manis kepada rakyat.

    Macam-macam dijanjikan termasuk bulan dan bintang dengan hasil yang berkurangan. Namun kegembiraan PH itu tidak lama apabila Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2018 di Parlimen hari ini.

    Dengan tema "Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi #TN50, Bajet 2018", Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM280.25 bilion untuk tahun depan.

    Bajet 2018 meningkat sebanyak RM19.45 bilion berbanding peruntukan Bajet 2017 yang berjumlah RM260.8 bilion. Dalam pembangkang mengata negara hendak bankrup, BN tambah lagi peruntukkan untuk Bajet 2018.

    Disifatkan sebagai "ibu segala bajet", Najib mengumumkan lebih banyak berita gembira kepada segenap pelusuk rakyat. Beliau menjadikan pelaburan, perdagangan dan industri sebagai tunjang dalam pembentangan bajetnya.

    Terdiam terus pembangkang. Mereka sangka bajet alternatif yang mereka sediakan itu sudah cukup bagus malangnya Bajet 2018 Barisan Nasional (BN) jauh lebih hebat dari itu. Yang penting Bajet 2018 lebih realistik dan mampu untuk dilaksanakan.

    Selain itu, rakyat juga mengetahui setiap sen wang mereka dibelanjakan ke mana. Tidak seperti PH yang hanya "copy paste" atau salinan daripada bajet BN pada tahun-tahun terdahulu.

    Ternyata Bajet 2018 ini meliputi semua aspek yang diperkatakan oleh pembangkang selama ini. Isu cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sering dijaja oleh pembangkang, telah ditambah baik dengan lebih banyak pelepasan diberikan.

    Bukan itu sahaja, ketika PH mahu memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bersyarat dalam bajet alternatif mereka, BN pula tekad untuk meneruskan pemberian BR1M kepada 7 juta penerima dengan kadar RM1,200 setahun dengan peruntukan RM6.8 bilion.

    Tidak terkecuali cadangan untuk memansuhkan beberapa tol di Selangor, Kedah dan Johor. Meskipun PH turut mencadangkan pemansuhan tol dalam bajet alternatif mereka namun semua tahu itu hanya janji manis sahaja.

    Pembangkang tidak akan mampu melaksanakannya. Lihat sahaja kepada tol Sungai Nyior di Pulau Pinang. Walaupun Ketua Menteri, Lim Guan Eng pernah menjanjikan untuk memansuhkan kutipan tol berkenaan pada 2008, namun hingga kini tol itu masih tegak berdiri.

    Begitu juga dengan subsidi di mana Pakatan Harapan menjanjikan subsidi RM1 bilion untuk mengurangkan harga minyak. BN pula memberikan subsidi tersasar iaitu untuk peruntukan sebanyak RM3.9 bilion subsidi barangan dan pengangkutan termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.

    Sebenarnya lebih banyak berita baik untuk rakyat yang disentuh oleh Perdana Menteri. Biarlah pembangkang menuduh ia bajet pilihan raya, asalkan rakyat mendapat manfaat yang sepatutnya daripada kerajaan yang mereka pilih.

    Daripada Program Transformasi Negara yang diperkenalkan oleh Najib sejak mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Mahathir Mohamad yang memerintah selama 22 tahun, ternyata beliau lebih berjaya meletakkan negara di persada dunia.

    Apa yang pasti, selepas pembentangan Bajet 2018 ini, Perdana Menteri mendapat sokongan yang padu. Semua Ahli Parlimen BN yang berpakaian baju Melayu biru atau tali leher biru, bangun sebagai tanda sokongan.

    Mereka melaungkan "hidup BN" sekali gus menenggelamkan laungan "kleptokrasi pembangkang". Terkedu terus pembangkang dengan laungan itu. Terus diam.

    Akhir kata ketika menyimpulkan Bajet 2018, Najib bersumpah bahawa harapan yang digenggam jangan sekali-kali terlepas dan tergadai kepada pihak lawan.

    "Ayuhlah....kita wajib tetap menggigit amanah yang diberikan itu, dengan taring-taring dan geraham-geraham masing-masing, sampai ketitisan darah yang terakhir, membawa Barisan Nasional menuju kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti. Insya Allah,'' kata Najib dengan nada penuh semangat.

    Sampai ke dapur dan ke dalam perut ibu mengandung nikmat Bajet 2018 ini. Semuanya dibuat dari idea 13,000 rakyat dan untuk rakyat. Apa yang pasti Bajet BN ini lebih komprehensif dan realistik berbanding Bajet PH.


    Tulisan :
    Beruang Biru
    BB634, Jumaat
    27 Oktober 2017

    Subjects:

  • No Comment to " Bajet BN Lebih Realistik Daripada Bajet Pakatan Harapan "