• Bajet Alternatif PH Bawa Malapetaka, Menteri Kata Rakyat Akan Merana

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+


    "Tidak bertanggungjawab, tidak realistik, tidak lestari". Begitulah kesimpulan dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancangan Ekonomi) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan terhadap bajet alternatif Pakatan Harapan.

    Bajet yang dibentangkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kelmarin antara lain menjanjikan pendidikan percuma, mengembalikan subsidi petrol, meningkatkan royalti negeri-negeri pengeluar minyak kepada 20 peratus serta lain-lain dan optimis akan mendapatkan lebihan RM6 bilion pada penghujung 2018.

    Lebihan pendapatan tersebut juga akan dicapai sungguhpun Pakatan Harapan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

    "Mereka kata mereka akan berbelanja dengan cermat, mereka akan memansuhkan cukai dan mereka mahu rakyat Malaysia memilih harapan.

    "Mereka tidak perna beritahu rakyat Malaysia bahawa perbelanjaan mengurus (OPEX) di Pulau Pinang dan Selangor telah meningkat berlipat kali ganda semenjak mereka mula mengambil alih negeri pada 2008," katanya dipetik satu kenyataan.

    Perbelanjaan mengurus Pulau Pinang meningkat hampir empat kali ganda antara tahun 2007 hingga 2015, iaitu dari RM252.3 juta kepada RM825.9 juta sementara Selangor meningkat 100% dalam tempoh 8 tahun, daripada RM1.15 kepada RM2.34 bilion.

    "Malah jika mereka telah membelanjakan wang dengan bijak di negeri masing-masing, perbelanjaan operasi mereka akan menurun berbanding sebaliknya," ujarnya.

    Berhubung cadangan untuk memansuhkan tol, memansuhkan GST, mengurangkan kadar duti eksais ke atas kenderaan import, memansuhkan PTPTN dan sebagainya, Abdul Rahman menegaskan segala janji yang diberikan tanpa meletakkan garis panduan pelaksanaannya.

    "Sudah pasti tiada rancangan bagaimana mereka akan membiaayai kos untuk membeli balik kesemua tol konsesi di Malaysia, tiada rancangan konkrit bagaimana mereka mahu membayar semula RM40 bilion pinjaman PTPTN yang kini berhutang dengan institusi kewangan atau bagaimana mereka mahu melakukan penjimatan RM20 bilion setiap tahun dengan memerangi rasuah.

    "Hakikatnya bahawa penghapusan tol, menawarkan pendidikan dan meningkatkan gaji minima akan bernilai ratusan bilion Ringgit dalam tempoh masa panjang.

    "Janji-janji ini tidak akan mencipta pekerjaan, meningkatkan pendapatan atau mengurangkan kos sara hidup, sebaliknya syarikat akan berhenti mengambil pekerja, pekerja sekarang akan kehilangan pekerjaan, agensi penarafan nilai akan menurunkan nilai bon kerajaan dan banyak lagi kesan malapetaka bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga kepada rakyat secara langsung," tegasnya.

    Tambah beliau, pembangkang hanya pandai berkata-kata namun gagal untuk melaksanakannya sepertimana slogan 'Cekap, Akauntabiliti dan Telus' kerajaan DAP Pulau Pinang, tetapi Ketua Menterinya sendiri, Lim Guan Eng, terpalit dengan skandal rasuah.

    "Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa satu-satunya bajet yang benar dan akan memberi impak secara positif adalah bajet yang akan disampaikan di parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Jumaat.

    "Kami tidak akan merosakkan masa depan kita dengan memberikan janji palsu seperti pembangkang. Kami adalah kerajaan bertanggungjawab yang bukan sahaja memikirkan keadaan semasa, tetapi juga masa depan negara. Satu perkara yang kami pasti terhadap pembangkang, mereka akan berjalan keluar (dewan) sepertimana yang dilakukan ketika pembentangan Bajet 2017," katanya mengakhiri kenyataannya.- MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Bajet Alternatif PH Bawa Malapetaka, Menteri Kata Rakyat Akan Merana "