• Bajet 2018 Tepati Keperluan Sarawak - Awang Tengah

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+

    KOTA SAMARAHAN: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak petang kelmarin mengambil kira keperluan rakyat di Sarawak.

    “Kita bersyukur Bajet 2018 ini mengambil kira keperluan kita di Sarawak, lebih-lebih lagi dalam usaha kita untuk melaksanakan pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan sebagainya.

    “Ia merupakan bajet yang begitu holistik, komprehensif dan inklusif dan saya percaya bajet ini dapat memastikan bahawa masa depan negara akan lebih cerah,” katanya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, bajet tersebut sudah tentunya akan memberi impak besar terhadap pembangunan dan kebajikan rakyat di negeri ini.

    “Malah, peruntukan RM1 bilion untuk sekolah daif juga merupakan satu perkhabaran yang baik untuk pembangunan pendidikan di negeri ini.

    “Ini kerana masih banyak sekolah daif di negeri ini yang perlu dibangunkan semula demi keselesaan dan keselamatan pelajar dan guru di sekolah tersebut,” tambahnya.

    Selain itu, beliau yang juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan menggesa golongan usahawan tempatan merebut segala peluang yang ditawarkan dalam pengumuman Bajet 2018.

    “Saya mengambil kesempatan ini ingin menyeru supaya masyarakat peniaga dan pengusaha kita dalam sektor industri kecil dan sederhana (IKS) mengambil manfaat kepada insentif yang diperkenalkan.

    “Banyak insentif untuk pembangunan keusahawanan demi pembangunan IKS di negara ini kerana IKS memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara,” jelasnya.

    Menyentuh peruntukan RM30 juta bagi penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) pula, Awang Tengah berkata ini membolehkan kerajaan negeri meneruskan kerja-kerja pengukuran tanah NCR di Sarawak. – Sarawakiana


  • No Comment to " Bajet 2018 Tepati Keperluan Sarawak - Awang Tengah "