• Bajet 2018 Perlu Fokus Kebajikan Pasangan Muda

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memfokuskan kebajikan golongan pasangan muda dalam Bajet 2018 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Jumaat nanti.

    Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Fahariyah Md Nordin, berkata pemilikan rumah pertama, kemudahan penjagaan anak, pelaksanaan dasar waktu bekerja anjal antara isu yang perlu diberi perhatian kerana golongan ini baru memulakan hidup.

    Katanya, ramai generasi muda ini berhadapan kesukaran memiliki rumah disebabkan masalah kelayakan pinjaman bank terlalu ketat yang akhirnya, mereka terpaksa menyewa rumah yang kini harganya amat tinggi.

    Sekiranya golongan ini diberi insentif, bantuan khas atau potongan cukai untuk memiliki rumah pertama dalam kategori rumah kos sederhana atau mampu milik, sudah pasti ini akan banyak membantu.

    "Beberapa cadangan lain seperti penyediaan pusat asuhan kanak-kanak adalah insentif berkesan mengatasi masalah pengurusan waktu, khususnya bagi mereka yang bekerja bukan di waktu pejabat.

    "Majikan juga perlu digesa untuk melaksanakan dasar waktu bekerja anjal dan bekerja dari rumah kerana ini dapat membentuk pembangunan kanak-kanak yang lebih baik selain mengelak gejala sosial.

    "Selain itu, saya juga mencadangkan agar kerajaan menyediakan subsidi kos yuran pusat penjagaan anak bagi golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar memandangkan yuran di taska dan pusat asuhan semakin melambung tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

    Beliau turut menyarankan kerajaan memperbanyakkan tadika KEMAS di kawasan bandar serta menambah peruntukan untuk membaik pulih infrastruktur tadika sedia ada.

    "Bagi mengurangkan kos sara hidup pula, saya mencadangkan agar kerajaan meningkatkan cukai pelepasan untuk ibu bapa yang berpendapatan dari RM1,500 ke RM3,000.

    "Turut dicadangkan agar mengasingkan dan meningkatkan pelepasan cukai bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan insurans nyawa, mengecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi barangan keperluan bulanan seperti tuala wanita, lampin pakai buang bayi serta warga emas," katanya.- BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Bajet 2018 Perlu Fokus Kebajikan Pasangan Muda "