• Bajet 2018: Kerajaan sedia beri ‘gula-gula’

    Published: Friday, 20 October 2017
    A- A+


    SHAH ALAM - Kerajaan didakwa akan memberikan banyak ‘gula-gula’ kepada rakyat dalam Bajet 2018 kerana ia mampu memberi kesan positif kepada kerajaan bagi menghadapi PRU14.

    “Dalam melaksanakan dasar-dasar yang menguntungkan rakyat jelata, sudah tentu kerajaan memiliki kelebihan dan boleh mempengaruhi undi pada PRU yang akan diadakan tidak lama lagi,” kata pakar ekonomi, Ooi Kok Hwa seperti dipetik dalam Nanyang Siang Pau.

    Memandangkan Bajet 2018 adalah bajet terakhir sebelum mandat kerajaan BN berakhir pada Jun depan, kata Kok Hwa, kerajaan akan melakukan pelbagai dasar dan menyediakan peruntukan berbentuk ‘gula-gula’, sekali gus merancakkan urus niaga di Bursa Malaysia.

    “Harga minyak mentah dunia kini berada dalam kedudukan stabil dengan harga USD50 setong, dan ditambah lagi dengan GST yang mampu menambahkan lagi pendapatan kerajaan. Faktor-faktor inilah yang memihak kepada kerajaan BN.

    “Sekiranya BN dapat mempertahankan tampuk pemerintahan sekali lagi, indeks pasaran saham di Bursa Malaysia kemungkinan akan melebihi 2,000 mata,” ramal beliau yang juga pakar pelaburan.

    Sementara itu, Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Dr Lim Wee Chai berharap, dalam Bajet 2018, kerajaan dapat menyediakan dana sebanyak RM1 bilion kepada industri kecil dan sederhana bagi membantu sektor tersebut mempertingkatkan kepakaran teknikal.

    “Bantuan kerajaan terhadap industri kecil dan sederhana amat penting kerana ia membolehkan usahawan-usahawan yang terlibat ini lebih berdaya saing di peringkat global,” katanya. - Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Bajet 2018: Kerajaan sedia beri ‘gula-gula’ "