• Bajet 2018 Bukan Tiru Selangor: Shahrizat

    Published: Saturday, 28 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa beberapa inti pati Bajet 2018 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diambil daripada bajet Selangor, disanggah Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

    Sambil menyifatkan kenyataan Mohamed Azmin itu umpama ‘mimpi di siang hari’, Shahrizat berkata kandungan Bajet 2018 semalam terdiri daripada idea-idea bernas tulen yang mampu diimplimentasikan secara menyeluruh bagi semua lapisan masyarakat di negara ini.

    “Mana nak tiru Selangor, (sebaliknya) Selangor yang selalu tiru kerajaan persekutuan…itu kenyataan syok sendiri sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pasarnita Kuala Lumpur Wedding Fest di Hotel Premiera di sini, hari ini.

    Mohamed Azmin dilaporkan berkata program Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) yang baru diumumkan Bajet 2018 mirip Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang diwujudkan oleh kerajaan negeri Selangor pada 30 Ogos 2008 untuk anak-anak yang lahir di negeri itu.

    Perdana Menteri mengumumkan bahawa setiap anak Malaysia lahir bermula 1 Jan 2018 hingga 2022, dihadiahkan Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200 melalui unit Amanah Saham, Permodalan Nasional Berhad (PNB).

    Shahrizat juga meminta golongan wanita supaya bijak untuk mengambil peluang yang diberi kerajaan dalam semua sektor melalui Bajet 2018.

    “Wanita jangan sekatkan peluang kita hanya kepada pakej-pakej yang diberi kepada wanita. Kita mesti meraih daripada semua pakej pembentangan bajet,” katanya yang berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman insentif menyeluruh kepada golongan wanita dalam Bajet 2018.

    Sementara itu, program festival perkahwinan anjuran TerraJuta yang julung kali diadakan bertujuan memberi kemudahan kepada bakal pengantin bagi mendapatkan keperluan perkahwinan di bawah satu bumbung.

    Lebih 50 vendor termasuk nama besar industri seperti Rizman Ruzaini, Minaz Creation dan Rico Rinaldi turut mengambil bahagian dalam festival itu.

    Berlangsung selama tiga hari bermula semalam, pengunjung berpeluang melihat secara dekat hasil rekaan pereka terkenal di samping membeli pakej dekorasi, fotografi dan kad kahwin di venue sama. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Bajet 2018 Bukan Tiru Selangor: Shahrizat "