• Bajet 2018: Beri Perhatian Program Penjagaan Kesihatan

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Menjelang Bajet 2018 yang bakal dibentangkan Jumaat ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengharap perhatian khusus diberikan membabitkan program perkhidmatan penjagaan kesihatan.

    Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata perkara itu sememangnya sudah dipanjangkan kepada pengetahuan Perdana Menteri dalam beberapa pertemuan sebelum ini.

    Katanya, transformasi terhadap Klinik Kesihatan perlu diteruskan supaya dapat membawa komuniti ke dalam sistem yang dilaksanakan.

    "Kita mahu menguatkan sistem penjagaan kesihatan untuk rakyat. Menerusinya kita dapat menguruskan penyakit tidak berjangkit ini dengan lebih berkesan.

    "Sebagai contoh, mengikut data, 60 peratus pesakit diabetes tidak dikesan pada peringkat awal. Justeru, kaedah pencegahan dan rawatan awal dapat membantu mengurangkan rawatan pakar yang seterusnya membantu mengurangkan kos perubatan," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Projek Fasa Dua Penajaan Kanta Intraokular di antara KKM dan Yayasan Standard Chartered.

    KKM diwakili oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, manakala Yayasan Standard Chartered diwakili oleh Ketua Perhubungan Korporatnya, Jennifer Kang.

    Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Kelestarian Hal Ehwal Awam Standard Chartered, Mastura Adnan.

    Menerusi perjanjian itu, Yayasan Standard Chartered menaja RM 412,000 untuk membeli 1800 kanta intraokular untuk pengidap masalah katarak mata.

    Subramaniam berkata, masalah katarak mata adalah penyumbang utama masalah buta yang boleh dirawat di Malaysia.

    "Sebanyak 1.2 peratus rakyat Malaysia berumur 50 tahun ke atas mengalami buta dengan 58 peratus disebabkan katarak.

    "Punca utamanya adalah disebabkan mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat. Namun masalah ini boleh diatasi dengan melakukan pembedahan katarak," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Bajet 2018: Beri Perhatian Program Penjagaan Kesihatan "