• Bajet 2018 Berdisiplin, Seimbang: Fitch

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Fitch Ratings, antara tiga agensi penarafan paling berpengaruh di dunia, menyifatkan Bajet 2018 dibentang Perdana Menteri pada Jumaat lalu, sebagai seimbang dari segi langkah memenuhi keperluan rakyat dan pada masa sama melaksanakan pengukuhan fiskal.

    Agensi penarafan itu dalam satu kenyataan berkata, Bajet 2018 Malaysia menyediakan keseimbangan antara langkah menggembirakan rakyat tetapi tidak mengorbankan sasaran untuk merendahkan defisit fiskal negara.

    "Kami yakin Malaysia tidak akan tersasar daripada sasaran penurunan defisit fiskalnya tahun depan," katanya.

    Bagaimanapun, Fitch berkata, meskipun negara sudah mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan daripada minyak dan gas, komoditi berkenaan kekal penyumbang penting kepada ekonomi negara.

    Susulan itu, ekonomi Malaysia kekal sensitif terhadap pergerakan harga komoditi berkenaan.

    Agensi penarafan kredit itu berpendapat, wujud risiko dalam unjuran pendapatan yang optimistik oleh kerajaan.

    Katanya, kerajaan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2018 pada kadar 5.0-5.5 peratus, dengan mengandaikan momentum yang mengukuh ketika ini berkekalan.

    "Tetapi, ada juga kemungkinan boleh berlaku kesukaran dari segi pengurangan daripada permintaan luar.

    "Selain itu, keyakinan kerajaan terhadap jangkaan pertumbuhan itu dan sasaran kutipan hasil yang optimistik adalah kunci kepada unjuran yang kutipan langsung cukai akan meningkat tujuh peratus dan pendapatan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) naik 5.5 peratus.

    "Kekurangan dalam kutipan hasil ini kemungkinan besar akan diimbangi dengan pemotongan perbelanjaan yang sama untuk memenuhi sasaran defisit," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bajet 2018 Berdisiplin, Seimbang: Fitch "