• Bajet 2018: Banyak Berita Baik Untuk Rakyat?

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    SHAH ALAM: Pembentangan Bajet 2018 dijangka memberikan berita baik buat rakyat secara keseluruhannya menerusi beberapa pengumuman gembira oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Shazali Abu Mansor berkata, kerajaan semestinya mengambil kira faktor PRU14 dengan menyediakan belanjawan yang dapat memuaskan hati setiap lapisan rakyat di negara ini.

    “Saya jangkakan pembentangan Bajet 2018 ini merupakan yang paling popular serta menggembirakan semua lapisan masyarakat.

    “Di kala PRU14 bakal menjelang, kita jangka ia satu bajet yang memuaskan hati semua pihak khususnya di peringkat bawahan,” katanya.

    Selain itu, Shazali membayangkan kerajaan terus memperkasakan agenda dan inisiatif sedia ada.

    Katanya, kerajaan juga pasti akan memberikan perhatian lebih khusus terhadap pelajar dan pusat tahfiz dengan menyediakan peruntukan selepas berlakunya beberapa insiden sebelum ini.

    “Berdasarkan kes dan isu yang timbul sebelum ini, sudah tentu kerajaan akan beri perhatian terhadap pusat dan pelajar tahfiz ini.

    “Memang ini akan dijadikan agenda kerajaan kerana ia dapat memberi impak baik,” katanya.

    Di samping itu, Shazali berharap bajet kali ini turut memberi perhatian terhadap isu pekerja asing dengan tawaran insentif lebih istimewa bagi menarik minat pekerja tempatan.

    Katanya, agenda bagi pendidikan dan kesihatan juga perlu diberi perhatian memandangkan ia adalah pelaburan sumber manusia yang akan menentukan kedudukan generasi akan datang.

    Sementara itu, pakar ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin pula yakin Bajet 2018 ini menyediakan banyak inisiatif-inisiatif baharu buat rakyat.

    “Pada saya, mungkin akan ada banyak berita baik yang dicadangkan oleh kerajaan untuk rakyat bagi mengurangkan beban khususnya kepada golongan di peringkat bawahan,” katanya.

    Beliau berkata, apa yang akan dicadangkan oleh kerajaan melalui Bajet 2018 ini pastinya untuk kebaikan dan kesenangan rakyat selepas ini. Apa pun, rakyat kena sabar untuk tunggu pengumuman oleh perdana menteri,” katanya. - Sinar Online

    Subjects:

  • No Comment to " Bajet 2018: Banyak Berita Baik Untuk Rakyat? "